Kraf batang pisang

May 18, 2009 by admin  
Fail di bawah Seni & Kraf

DAUNNYA diambil sebagai bungkusan nasi lemak, manakala batangnya digunakan sebagai tempat memacak bunga telur dan pahar ketika majlis perkahwinan. Ini antara kepentingan utama pokok pisang, tetapi fungsinya seakan-akan tidak wujud bagi aspek hiasan dalaman.

Mohd Rostam menunjukkan kotak hadiah diperbuat daripada batang pisang.

Mohd Rostam menunjukkan kotak hadiah diperbuat daripada batang pisang.

Tanggapan inilah sebaliknya yang cuba diubah Going Bananas (GB) - syarikat industri kecil di bawah Koperasi Usaha Kampung Balik Pulau (KUKAM) apabila menghasilkan produk hiasan dan barangan kraf daripada batang pisang.

“Formula menghasilkan produk rumah menggunakan batang pisang diilhamkan seorang pensyarah seni Universiti Sains Malaysia (USM). Bahkan, kajian serta penyelidikannya enam tahun lalu juga dibantu universiti ini,” kata Penolong Pengurusnya, Mohd Rostam Rahim.

Rostam berkata, proses mengubah batang pisang menjadi kertas dilakukan oleh mesin khas. Kertas sebelum disembur penyembur angin bagi tujuan memberi warna padanya, mempunyai tekstur kasar serta berserat.

“Cirinya yang bertekstur itu menyebabkan kertas dihasilkan tidak renyuk dan lembik apabila direndam dalam air, manakala tujuan menyembur warna pada kertas selain supaya nampak cantik, juga berfungsi menutup liang tekstur,” katanya.

Kotak serba guna bentuk kerang.

Kotak serba guna bentuk kerang.

Kata Rostam, pilihan semburan warna berupaya menentukan cita rasa. Mereka yang inginkan sentuhan mewah, lazimnya memilih warna keemasan manakala yang memburu gaya kontemporari, berminat dengan warna kilauan perak.

“Produk yang sudah siap seterusnya disapu barnis supaya kukuh dan tahan lasak. Kesan yang ditampilkan cukup luar biasa hingga sekali pandang, ramai yang menyangka produk ini diperbuat daripada logam atau kayu padahal ia kertas,” katanya yang selain kotak menyimpan barang kemas, GB turut menawarkan bekas tisu, kotak serba guna dan kotak hiasan lainnya.

Meskipun kajian dan penyelidikannya dilakukan enam tahun lalu, projek mengusahakan barangan kraf daripada batang pisang ini hanya bermula Disember tahun lalu.

Gambar atas, kotak hadiah bertatah hiasan bunga. Gambar bawah, bekas tisu.

Gambar atas, kotak hadiah bertatah hiasan bunga. Gambar bawah, bekas tisu.

“Biarpun memakan masa lama untuk tampil di pasaran, kami berkeyakinan kraf keluaran kami berupaya menambat selera umum. Buktinya, biarpun tidak berapa lama berada di pasaran, saya diberitahu produk ini mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan pelancong Jepun,” katanya.
Gambar atas, kotak hadiah bertatah hiasan bunga. Gambar bawah, bekas tisu.

Mengenai sumber serta bekalan bahannya, Rostam memberitahu, ia diperoleh daripada pekebun yang mengusahakan tanaman berkenaan baik secara persendirian mahupun komersial.

Secara anggaran, Rostam memaklumkan 500 pokok pisang ditebang dalam tempoh sebulan dan sekurang-kurangnya dua hari diperuntukkan bagi menyiapkan sebuah kotak hiasan.

Selain itu, bagi penggemar kraf yang berminat menghasilkan sendiri produk kraf, GB menawarkan kertas daun pisang untuk dibeli.

“Membuatnya sendiri lebih seronok serta tidak sukar kerana kertasnya lembut dan senang dibentuk. Kami bersedia menunjuk ajar cara membuatnya jika diminta berbuat demikian,” katanya.

Berita Harian