Berbaloi ternak lembu

May 8, 2009 by admin  
Fail di bawah Pertanian & Ternakan

Melihat sendiri bagaimana seorang penternak memanggil ternakan lembunya dengan ‘bahasa’ tersendiri, memang sesuatu yang mengasyikkan bagi mereka yang belum pernah berpengalaman menyaksikannya.

Tapi itulah yang boleh disaksikan semasa menemubual seorang penternak yang mempunyai hampir 200 ekor lembu di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Baginya, lembu pertama yang dibelinya dan diberikan nama Atan amat istimewa dan terus dipelihara sehingga ke hari ini.

Bagi penternak terbabit , bekerja keras dan bersemangat untuk memajukan diri adalah kunci baginya mencapai kejayaan.

Bermula dengan bekerja di bahagian penyelenggaraan di Hospital Jerantut, Pahang, lebih kurang 10 tahun lalu, Muhammad Rohaimi Amiruddin, 29, kini mempelbagaikan usahanya termasuk dalam industri ternakan.

‘Karier’ awalnya bermula sebagai kontraktor Kelas F semasa berkhidmat di Hospital Jerantut, yang mula membuka pintu rezekinya meskipun tiga tahun dilalui tanpa sebarang projek.

Tanpa mengenal putus asa, dalam tempoh tiga tahun itu, Muhammad Rohaimi tetap dengan tugasnya di Hospital Jerantut sehinggalah dia memperoleh projeknya yang pertama.

Hasil pendapatan daripada projek berkenaan dilaburkan dengan membeli 10 ekor lembu atas nasihat rakan-rakannya.

“Pada mulanya saya membeli baka lembu dan dilepaskan di kebun ayah saya,” katanya semasa ditemui di ladang sawit Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Lebih 400 ekor lembu dipelihara secara integrasi oleh tiga individu berbeza di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Lebih 400 ekor lembu dipelihara secara integrasi oleh tiga individu berbeza di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Apabila mendapat kontrak demi kontrak dan syarikat tempatnya bekerja menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), Rohaimi menerimanya. Setelah itu, bermulanya kehidupannya sebagai seorang penternak lembu dan kontraktor Kelas F.

Melabur

Hasil daripada pelbagai jenis projek yang diterima, Muhammad Rohaimi laburkan dengan membeli lembu bagi menambah bilangan ternakannya.

Selepas mendapat kontrak membersihkan ladang sawit LKPP seluas 4,000 ekar bersama-sama dengan dua rakan lain, Rohaimi mula membeli lebih banyak lembu untuk diletakkan di ladang berkenaan.

“Sebelum itu, dengan hanya beberapa ekor lembu saya letakkannya di sana, tetapi apabila saya mula menambah bilangan lembu kepada lebih 50 ekor, saya meminta kebenaran untuk menyewa tanah ladang bagi melepaskan semua ternakan tersebut,” katanya.

Menternak lembu di kawasan ladang sawit, kata Rohaimi, amat menjimatkan kerana lembu yang dipelihara mudah mendapat makanan dan ladang juga bersih.

Najis lembu

Pada masa sama, najis lembu juga boleh digunakan untuk menyuburkan tanah di ladang kelapa sawit berkenaan.

Usahanya tidak diteruskan dengan menambah bilangan lembu dengan membeli pelbagai jenis lembu seperti Brahman, LID, Charolais, Kedah-Kelantan (KK) dan Draughtmaster daripada rakan-rakan dan penduduk sekitar daerah Jerantut.

Menyentuh mengenai kos menternak lembu secara integrasi, Rohaimi berkata, kosnya amat rendah kerana hanya perlu membeli air gula, ubat-ubatan dan garam.

Bagaimanapun, dia u perlu membeli tiga set pagar elektrik bagi mengelakkan ternakan tersebut merayau keluar ke kebun penduduk kampung.

“Satu set pagar elektrik bagi kawasan 10 ekar lengkap dengan bateri berharga sekitar RM2,000,” katanya.

Sehingga kini ladang berkenaan menjadi tempat tinggal lebih 400 ekor lembu daripada tiga individu yang berlainan.

“Di sini kami sama-sama menjaga ternakan secara gotong-royong kerana kami mengenali lembu masing-masing.

“Setiap hari pekerja akan meninjau keadaan lembu dan mengenalpasti masalah seperti penyakit dan masalah lain,” katanya yang mempunyai enam orang pekerja untuk tugas-tugas membersihkan ladang.

Setiap petang beliau yang mempunyai hampir 200 ekor lembu akan pergi meninjau keadaan lembunya sambil membawa bancuhan air gula merah.

Menyentuh mengenai pasaran, Rohaimi berkata setakat ini pasaran lembu amat menggalakkan terutama menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.

Bagaimanapun Rohaimi biasanya akan membeli lembu-lembu lagi bagi menggantikan lembu yang telah dijual.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, anak muda yang penuh wawasan ini merancang untuk menambahkan lagi bilangan lembu-lembunya.

“Apabila saya menjual lembu, saya akan membeli lagi untuk menambah bilangan ternakan saya,” katanya dengan penuh semangat.

Utusan Malaysia

Usahawan ternakan kolam

May 7, 2009 by admin  
Fail di bawah Pertanian & Ternakan

Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

”Saya sudah bosan,” katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu.

Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

Ikan keli yang diternak oleh syarikat Dimensi Rebana sentiasa mendapat permintaan.

Ikan keli yang diternak oleh syarikat Dimensi Rebana sentiasa mendapat permintaan.

Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.

Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang.

Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain.

Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali.

Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan.

”Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, ” katanya.

Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.

Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam.

Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg).

Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan.

Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak.

Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad.

Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.

Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya.

Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

”Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,”ujarnya.

Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya.

Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

”Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan,” ujar Hanafiah.

Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.

Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03- 77833111 ( pejabat jualan di 53, PJS 1/48, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya) atau emel : puntius@streamyx.com atau layari http://dimensirebana.blogspot.com atau http://oxymarmoratus.blogspot.com. Mereka juga boleh datang terus ke pusat pembenihan di Kg. Bukit Kecil, Jalan Sg Pasir-Batu LIntang, Sg Petani Selatan.

Utusan Malaysia

Jurutera jadi tauke cendawan

March 31, 2009 by admin  
Fail di bawah Pertanian & Ternakan

KENIKMATAN yang diperoleh hasil berbudi dengan tanah sukar diluah dengan kata-kata. Apatah lagi seronok melihat hasil yang membanggakan dan mampu pula menggantikan pergantungan makan gaji selama 10 tahun.

Bagaimana pun kerjaya sebagai jurutera projek menyebabkan Mohd Asmawi Mohamed Noor, 33, sukar membuat keputusan sama ada meletakkan jawatan atau membabitkan diri sepenuhnya sebagai penanam cendawan di kampung halamannya, di Padang Salim, Peringat, Kota Bharu Kelantan.

”Seperti cinta yang baru berputik apabila aktiviti suka-suka membina dua rumah cendawan di kampung mula mengeluarkan hasil dan berpotensi untuk dimajukan, rasa cinta itu mula bercambah tetapi saya keliru membuat keputusan.

”Bagaimanapun lepas setahun, saya nekad terjun dalam bidang pertanian apabila tanaman cendawan di dua buah bangsal menunjukkan potensi memberangsangkan dan memberi pulangan berbaloi,” ujar lulusan kejuruteraan di Institut Jerman-Malaysia (GMI), Kuala Lumpur ini.

Mohd. Asmawi Mohamed Noor (kanan) tersenyum di samping Azuddin Zakaria menandakan projek tanaman cendawan mereka membuahkan hasil.

Mohd. Asmawi Mohamed Noor (kanan) tersenyum di samping Azuddin Zakaria menandakan projek tanaman cendawan mereka membuahkan hasil.

Bersama adik iparnya Azuddin Zakaria, 33 , kini Asmawi bergelar usahawan apabila berjaya mengeluar dan memasarkan cendawan sebanyak 130 hingga 150 kilogram sehari.

Di samping itu, Asmawi turut menerokai bidang baru sebagai pembekal anak benih cendawan yang telah siap diisi dalam polibeg dengan harga RM1.20.

Sejak akhir tahun lalu pula, dia bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri menganjurkan kursus penanaman cendawan kepada mana-mana pihak yang berminat selama tiga hari dengan yuran RM150 seorang.

”Dalam kursus tersebut, kami berkongsi pengalaman kepada pihak yang berminat menyertai bidang penanaman cendawan, mendedahkan teknik serta proses tanaman, membekalkan anak benih, membina rumah cendawan serta khidmat kewangan,” katanya.

Akuinya, walaupun di peringkat awal, dia dan rakan kongsi kosong dengan ilmu dan kemahiran mengendalikan projek tanaman cendawan tetapi minat dan kesungguhan untuk menjayakannya terbit secara semulajadi.

”Azuddin yang menjadi rakan kongsi, saya galakkan menyertai kursus berkaitan manakala saya pula lebih dalam bidang pemasaran walaupun awalnya setiap minggu berulang alik dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampung sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2006,” ujarnya.

Mendapat sokongan daripada Agro Bank dengan memberi modal pinjaman sebanyak RM250,000 sejak dua tahun lepas.

”Di bawah syarikat Nutri Agrotech Enterprise, buat masa ini terdapat enam rumah cendawan yang tapak asal merupakan tanah terbiar di kampung,” katanya.

Bermula dengan dua rumah diperbuat dari bangsal kayu berdinding dan beratap nipah seluas 20 kaki lebar dan di tepi rumah ibunya, bermodal daripada poket sendiri, Mohd. Asmawi mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu dan bercadang menambah jenis black jelly pada masa hadapan.

”Dalam sebuah rumah cendawan seluas 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang yang dibina daripada rangka besi dan kanvas mampu memuatkan 15,000 polibeg yang disusun atas rak-rak secara bertingkat,” katanya.

Menceritakan pengalaman mengusahakan cendawan, Asmawi berkata banyak perkara baru yang jauh menyimpang daripada kerjayanya selama ini dipelajari namun perbezaan itu menarik perhatiannya.

Lokasi operasi cendawannya kebetulan berhampiran dengan kilang memproses kayu turut memudahkan Mohd. Asmawi memperoleh habuk kayu getah malah telah membantu pihak pengurusan kilang melupuskan bahan buangan tersebut dalam bentuk kitar semula.

”Proses tanaman cendawan memerlukan penggunaan habuk kayu getah yang dicampur dedak padi, kapur dan air yang dimasukkan ke dalam beg media

”Diikuti dengan proses mematikan bakteria selama tujuh jam dengan cara mengukus dan disejukkan selama 12 jam

”Selepas itu setiap beg disuntik dengan benih dalam bilik bersih dan berhawa dingin sebelum mengalami proses pemeraman selama 55 hingga 60 hari dan disusun secara mengiring atas rak di dalam rumah,” ujarnya.

Tambah Mohd. Asmawi, proses pemeraman memerlukan pemantauan kerana biji benih mudah dicuri tikus yang gemar memakannya dengan cara mengorek dari hujung beg.

”Selain itu, pengusaha juga berhadapan dengan penyakit kulat hijau atau green mould dan kulat berwarna oren atau neuro spora yang menyerang isi dalam kampit menyebabkan seluruh beg tersebut berubah warna.

”Beg yang dijangkiti mesti diasingkan kerana ia mudah berjangkit dan menyebabkan gagal mengeluarkan hasil,” jelasnya.

Selepas dua bulan katanya, putik atau kudup cendawan yang dikenali sebagai mycelia akan memenuhi ruang atas kampit terjuntai keluar, selepas hari ke tiga dan ke empat hasil boleh dipungut.

”Setiap polibeg mengeluarkan 200 hingga 300 gram hasil dan bergantung kepada kesuburan benih yang akan dikutip mengikut permintaan dan keadaan kelopak cendawan itu sendiri.

”Hari ke tiga paling cantik sebelum bahagian tepi kelopak cendawan berombak dan pecah dengan cara mencabut keseluruhan daripada muncung beg. Hari ke empat cendawan pada peringkat maksimum dengan kelopak lebih segar, cantik dan apabila dimakan rangup dan manis,” ujarnya.

Menurut Mohd. Asmawi, tanaman yang memerlukan kawalan suhu sinar matahari itu boleh dikutip hasilnya selama tujuh kali berturut-turut sebelum direhatkan selama 15 hari sebelum hujungnya ditutup semula untuk memberi peluang kepada kampit lain mengeluarkan hasil.

Mohd. Asmawi yang mempunyai pembekal tetap menjual secara borong RM5 sekilogram (harga pasaran RM8 hingga RM10 sekilogram) untuk pasaran pasar basah dan pasar tani berhampiran.

”Tahun ini, sebanyak empat rumah lagi akan ditambah untuk memenuhi permintaan yang cukup menggalakkan daripada pembekal dan orang ramai,” katanya.

Utusan Malaysia