7 tahun jadi pembekal kuih

May 27, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

rahimahPengalaman selama 22 tahun mengusahakan kuih tradisional membolehkan dia menjadi pembekal kuih ke pusat peranginan terkenal di sini sejak tujuh tahun lalu.

Rahimah Ismail, 56, yang mengusahakan kuih tradisional bersama menantunya Wan Razlina Wan Razi, 30, kini giat membekalkan pelbagai jenis kuih untuk Sudara Beach Resort di sini sebagai pendapatan sampingan.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya mengusahakan kuih tradisional berkenaan secara kecil-kecilan, bagaimanapun setelah diberi bantuan dan peruntukan sebanyak RM10,000 dia dapat mengusahakan kuih-muih berkenaan dalam bentuk yang lebih komersial.

“Peruntukan berbentuk kelengkapan untuk memproses kuih yang diberi Jabatan Pertanian membolehkan saya menjalankan kerja pembuatan dengan lebih sempurna dan cepat lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pembuatan kuih sudah sebati dalam dirinya kerana ia merupakan pekerjaan kedua selain mengusahakan tanaman tembakau bersama suami.

“Sehari pernah buat antara 100 hingga 2,000 biji kuih bergantung kepada permintaan pelanggan ke pusat peranginan berkenaan, tetapi ia tidaklah sukar kerana kerja berkenaan telah menjadi kebiasaan saya,” katanya.

Sementara itu, menurut ibu kepada sembilan orang anak itu lagi, antara kuih yang dihasilkan termasuk seri ayu, karipap, sagu, roti goreng, dan apam balik.

Sinar Harian

Minyak kelapa dara

May 21, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

Khasiat minyak kelapa dara sememangnya telah tersebar bukan saja di kawasan Asia tetapi ke seluruh dunia.

Kelapa dulunya sering dikaitkan dengan kolestrol kerana dibayangi pelbagai keburukan yang memudaratkan kesihatan.

Kini minyak kelapa dara menjadi rebutan kerana khasiatnya yang telah diiktiraf secara saintifik.

Meninjau potensi minyak kelapa dara yang boleh berkembang lebih jauh, Natharuddin Jamaluddin, 51, mengambil inisiatif mempelajari kaedah memproses minyak kelapa dara.

Beliau mula meminati minyak kelapa dara selepas melawat beberapa pameran pertanian berhampiran Sungai Besar, Selangor.

“Selepas itu saya mula mengikuti kursus kaedah menghasilkan minyak kelapa dara yang diadakan oleh Pusat Latihan Pertanian di Serdang, Selangor,” katanya semasa ditemui di Pusat Pemprosesan Minyak Kelapa Dara, Pejabat Pertanian Batu 39, Sungai Besar, Selangor.

Sementelah itu harga kelapa adalah rendah dan boleh didapati dengan banyak, menyebabkan beliau menjalankan usaha menghasilkan minyak kelapa dara sepenuh masa.

Natharuddin berbangga dengan minyak kelapa dara yang dihasilkan sendiri.

Natharuddin berbangga dengan minyak kelapa dara yang dihasilkan sendiri.

Bagaimanapun, perniagaan yang dijalankan sebaik tamat habis kursus itu menyebabkan Natharuddin mengalami kerugian.

“Ketika itu saya banyak membuat eksperimen dan belum lagi mahir dalam kaedah pemprosesan yang betul.

“Walaupun telah menjalani kursus, membuat sendiri memerlukan keazaman yang kuat untuk berjaya,” katanya.

Natharuddin berkata, bagi menghasilkan minyak kelapa dara memerlukan kelapa yang betul-betul tua atau telah gugur.

Menurutnya, apa saja jenis kelapa boleh digunakan asalkan sudah cukup matang atau tua.

Bagi menghasilkan satu liter minyak kelapa dara, Natharuddin memerlukan 10 hingga 20 biji kelapa.

Kelapa yang telah siap diparut akan diperah untuk diambil santannya dan ditambah air paip dengan nisbah 1:1.

Santan tadi akan ditambah dengan lapisan minyak kelapa dara dan disimpan selama lapan hingga 15 jam pada suhu bilik.

“Minyak kelapa dara yang diletakkan di atas lapisan santan tadi bertindak sebagai ‘umpan’ atau pemangkin dalam penghasilan minyak kelapa dara,” katanya.

Selepas 15 jam akan terdapat tiga lapisan dengan lapisan minyak kelapa dara di tengah-tengah.

Lapisan minyak tadi akan diasingkan dan ditapis menggunakan kertas turas atau tisu dengan kapas.

Selepas itu hasil turasan akan dibekukan bagi mengasingkan getah kelapa yang menyebabkan bau tengik.

Selepas minyak tadi cair, ia akan dituras dua kali lagi dengan menggunakan lapisan kapas lebih ketat yang mengambil masa lebih kurang lima hari.

“Biasanya proses menghasilkan minyak kelapa dara mengambil masa lebih kurang seminggu,” katanya.

Natharuddin berkata, secara purata beliau boleh memproses sehingga 200 biji kelapa sehari bagi menghasilkan 10 liter minyak kelapa dara bergantung kepada permintaan.

Mengenai pasaran, beliau menjalankan pemasaran secara kecil-kecilan dan menerusi ekspo dan pameran.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan minyak kelapa dara Natharuddin boleh menghubunginya di 019-2991347.

Utusan Malaysia

Mengkomersial inang-inang

May 18, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

Bermula dengan sekadar menolong ibunya membuat sejenis kuih tradisional berasaskan pulut sejak berusia 12 tahun, Ab. Rahman Saleh, 51, tidak menyangka, kini kuih inang-inang buatannya itu berjaya dikomersialkan.

Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Tembakau di sini berkata, dia tidak menyangka, perniagaan yang dimulakan arwah ibunya, Halimah Salleh secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu berjaya diwarisinya sehingga kini.

Menurut Ab. Rahman, selepas 10 tahun menjalankan perniagaan kuih inang-inang, beliau kini boleh berbangga kerana kuih tradisional itu mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan.

Ab. Rahman Saleh (kanan) bersama pekerja membungkus kuih inang-inang keluaran syarikatnya untuk dipasarkan sekitar Melaka.

Ab. Rahman Saleh (kanan) bersama pekerja membungkus kuih inang-inang keluaran syarikatnya untuk dipasarkan sekitar Melaka.

Selain Melaka, kuih inang-inang buatannya yang dinamakan Inang-inang Bukit Tembakau turut dipasarkan di beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Selain itu, ia turut dipasarkan di beberapa pasar raya besar seperti Tesco dan Jaya Jusco.

Menceritakan detik bagaimana beliau mula-mula menceburkan diri dalam bidang itu, pesara kerajaan ini berkata, semuanya kerana ingin memastikan kuih tradisional itu terus dinikmati dan diwarisi generasi masa depan.

”Sejak membantu arwah emak lagi, saya mula berfikir cara bagaimana untuk melebarkan lagi perniagaan kuih ini supaya ia terus dikenali dan digemari.

”Apatah lagi Melaka sebagai negeri pelancongan, tentu sekali akan memudahkan lagi usaha mempromosikan kuih inang-inang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, beliau bersyukur apabila usahanya itu membuahkan kejayaan setelah 10 tahun menceburi bidang perusahaan makanan tradisional itu.

”Saya beryukur apabila kini mampu menghasilkan sebanyak 150 bungkus inang-inang sehari berbanding dahulu sebanyak 30 bungkus sahaja.

”Dalam sebulan, iaitu selama 20 hari bekerja, saya mampu menghasilkan 3,000 bungkus inang-inang dan jumlah ini akan bertambah berdasarkan permintaan,” katanya.

Menurut Ab. Rahman, inang-inang buatannya itu dihasilkan dalam lima perasa berlainan iaitu perasa asli, udang, pulut hitam, bawang putih dan sagu.

”Setiap bungkus inang-inang pula dijual pada harga RM1.50 kepada pemborong yang kemudian menjual pada harga RM2.50 di pasaran,” katanya.

Tambah Ab. Rahman, selain memberi pendapatan, perniagaannya itu juga secara tidak langsung telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan di kalangan penduduk sekitar.

”Alhamdulillah, semakin hari, bilangan pekerja saya semakin bertambah,” katanya sambil menambah menggunakan khidmat sebanyak 10 orang pekerja ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, bilangan pekerja yang lebih ramai diperlukan apabila mendapat permintaan tinggi seperti menjelang Hari Raya Aidilfitri, musim kenduri kahwin ataupun majlis-majlis keraian yang lain.

Bapa kepada 13 orang anak ini menambah, perusahaannya itu juga semakin berkembang apabila mendapat suntikan semangat dan modal daripada Jabatan Pertanian negeri.

”Empat tahun setelah memulakan perusahaan ini, pihak Jabatan Pertanian telah memberi peruntukan bernilai RM30,000 dengan membina sebuah tempat memproses bersebelahan rumah saya.

”Selain itu, mereka juga memantau perkembangan perniagaan saya termasuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar,” katanya.

Mengenai proses membuat inang-inang, Ab. Rahman berkata, pulut akan di basuh terlebih dahulu dan kemudian direndam semalaman.

”Pulut berkenaan kemudiannya dikukus dan kemudian diperap dengan bekas khas seterusnya dijemur selama seharian,” jelas beliau.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang ingin membuat tempahan kuih Inang-inang Bukit Tembakau untuk sebarang majlis boleh menghubungi Ab. Rahman di talian 06-2618810.

Utusan Malaysia

Karipap sejukbeku

May 17, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

Kay Kay Worldwide Marketing Sdn. Bhd. (KKWMSB) ditubuhkan khusus untuk menguruskan pemasaran produk makanan sejuk beku terutamanya karipap yang dihasilkan Anak Tempatan Holding Sdn. Bhd. (ATHSB).

Menurut Pengarah Urusan KKWMSB, Kamaruddin Jauhad, 43, syarikatnya sentiasa mengalu-alukan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang berminat menghasilkan karipap secara pengilangan kontrak dan pembungkusan kontrak menerusi kilang ATHSB.

Beliau yang berasal dari Muar, Johor, berkata, konsep pengilangan kontrak dan pembungkusan kontrak sesuai dipraktikkan oleh para pengusaha IKS yang kekurangan modal untuk membiayai pembelian mesin dan penyediaan premis.

Kuih-kuih tradisional jika dirancang dan dipasarkan dengan betul mampu berkembang menjadi industri yang berpotensi.

Kuih-kuih tradisional jika dirancang dan dipasarkan dengan betul mampu berkembang menjadi industri yang berpotensi.

”Pada masa ini, KKWMSB memberi tumpuan kepada para pengusaha IKS sekitar negeri ini, Melaka dan Lembah Kelang. Selain karipap, kami turut membuat dan memasarkan donat sejuk beku,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kamaruddin yang telah berkecimpung dalam bidang keusahawanan selama 20 tahun memberitahu, karipap sejuk beku dipasarkan oleh KKWMSB dalam pek 25 biji atau 50 biji.

Tambahnya, syarikatnya sentiasa bersedia membekalkan karipap sejuk beku dengan kuantiti setiap pek yang lebih besar mengikut permintaan pelanggan.

”Pengusaha IKS yang ingin memasarkan karipap sejuk beku dengan jenama sendiri boleh berbuat demikian melalui khidmat pembungkusan kontrak yang kami tawarkan,” jelasnya.

Selain pengusaha IKS, ujar Kamaruddin, KKWMSB turut bersedia membekalkan karipap sejuk beku kepada pasar raya besar, kedai runcit, hotel, institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan serta kem Pusat Latihan Khidmat Negara.

Dia berkata, tiada sebarang caj penghantaran dikenakan ke atas pelanggan di sekitar negeri ini, Melaka dan Lembah Klang yang membuat pesanan minimum 5,000 karipap sejuk beku.

”Bagi pesanan dengan kuantiti yang lebih kecil, pelanggan perlu membayar kos pengangkutan atau mereka boleh datang sendiri ke kilang ATHSB di No. 113, Jalan Nilai 3/12, Kawasan Perindustrian Nilai 3, dekat sini.

”Pelanggan digalakkan datang semasa kilang kami beroperasi iaitu dari pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang, setiap Isnin hingga Sabtu,” jelasnya.

Menurut Kamaruddin, pesanan boleh dibuat dengan menghubunginya di talian 016-6605375 atau Khairulnizam Samshi di talian 012-7396768.

Di samping itu, dia berkata, KKWMSB turut menerima pesanan atau sebarang pertanyaan melalui faksimile di talian 06-7998580 serta e-mel di alamat ‘King.karipap@gmail.com’.

Utusan Malaysia

Bisnes pastri graduan Fizik

April 22, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

KELIHATAN kek cawan tersusun kemas di atas dulang. Di atas setiap satu kek itu pula terhias pelbagai peralatan pejabat dalam saiz mini. Ada pena hitam, pensel dan pemadam, klip kertas, komputer riba serta buku nota. Malah, segala peralatan tadi termasuk beberapa akhbar kompak Kosmo! semuanya hanya sebesar saiz syiling 20 sen! Terlalu comel dan sayang untuk dimakan.

Jika difikirkan sejenak, pasti pembuat kek cawan itu seorang chef profesional yang teliti dengan hasil kerjanya ataupun suri rumah yang sudah terlalu arif dengan bab masakan.

Realitinya, hasil kerja kek-kek cawan tadi datangnya daripada seorang graduan muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga pemegang ijazah jurusan Fizik!

Pelik? Tidak perlu pelik kerana jika sudah minat, pasti ia bukan sesuatu yang mustahil. Minat awal Amirah Muhamad Akhir terhadap kek cawan bermula secara suka-suka sewaktu melanjutkan pengajian di menara gading.

“Masa belajar di universiti, saya suka buka Internet dan tengok kek cawan yang dihasilkan oleh orang lain. Mungkin sebab masa sekolah dulu saya suka subjek Pendidikan Seni. Jadi, secara naturalnya, saya tiada masalah untuk menghias kek cawan,” katanya saat ditemui Kosmo! di kediaman keluarganya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mira menyiapkan tempahan dan memastikan produknya memberi kepuasan kepada pelanggan.

Mira menyiapkan tempahan dan memastikan produknya memberi kepuasan kepada pelanggan.

Menurut Amirah yang lebih mesra disapa Mira, bakat membuat kek dan biskut mungkin diwarisi daripada neneknya. Tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang pembuatan kek atau pastri, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu kemudian mengikuti dua bengkel membuat kek sebelum mencubanya berkali-kali di rumah.

Daripada sekadar suka-suka membuatnya, gadis berusia 23 tahun itu akhirnya melibatkan diri dalam hobi barunya secara aktif sejak Mei tahun lalu. Anak kepada seorang pesara kakitangan swasta itu memberitahu, dia bertuah kerana mendapat sokongan daripada kedua-dua orang tuanya.

“Kadang-kadang waktu buat kek cawan, bapa datang tolong. Begitu juga dengan adik saya. Bapa bagi nasihat dari aspek logistik. Mak pula lebih kepada bahagian penentuan harga produk,” jelasnya.

Pada awal penglibatannya dalam hobi itu, Mira pernah menghasilkan biskut dan kek cawan untuk ibunya. Katanya, sampel-sampel produk hari raya itu kemudian menjadi batu loncatan untuknya membuka bisnes kecil tersebut. Bisnes kecil-kecilan itu kini berkembang menjadi sebuah syarikat membuat biskut, kek dan pastri milik Mira.

Resipi-resipi yang dipelajari sendiri diperkemaskan menerusi tunjuk ajar yang diterimanya daripada Chef Nor Zailina. Selain buku dan Internet, Mira rajin mengirim soalan kepada Nor Zailina untuk mendapatkan sukatan yang tepat bagi adunan kek dan biskutnya.

Memberi tumpuan kepada biskut atau kek custom-made, Mira biasanya menerima tempahan untuk pelbagai majlis keramaian. Namun, sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada gadis remaja yang membuat tempahan untuk hadiah hari jadi kekasih mereka.

“Tengok ni…, lazimnya perempuan suka tempah kek cawan macam ini (sambil menunjukkan sebiji kek besar daripada gabungan 25 kek cawan kecil).

“Mereka tahu teman lelaki suka kelab-kelab bola sepak tertentu dan itulah yang akan dipilih sebagai coraknya. Kek kelab Manchester United (MU) biasanya paling laris,” ujarnya tertawa.

Bercerita tentang corak dan rekaan, antara permintaan pelik yang pernah diterimanya termasuk menghasilkan kek bermotifkan Barney tiga dimensi dan beg Louis Vuiton. Kek Barney itu, jelasnya, memakan masa sehari untuk disiapkan.

Comel, cantik dan sedap..

Comel, cantik dan sedap..

Berbanding kek, Mira merasakan dekorasi di atas biskut lebih susah memandangkan tiada had untuk mengisi penampilan sesebuah biskut.

Jika diamati, sudah menjadi signatur produk kek Mira terdiri daripada gabungan berbiji-biji kek cawan. Justeru, tidak hairanlah mengapa kek cawan Mira begitu popular dalam kalangan pelanggan tetap mahupun pelanggan baru.

Sebelum setiap produknya dihasilkan, lakaran rekaan akan dilukiskan di atas sehelai kertas. Idea gabungan warna yang bersesuaian dan susun atur corak-corak mini perlu ditentukan terlebih dahulu.

Walaupun proses itu kedengaran agak ringkas dan mudah, hakikatnya kadangkala Mira juga ketandusan idea.

“Ada ketika sampai semalaman, saya tidak dapat idea. Jadi, idea itulah yang mahal harganya,” jelasnya jujur.

Menggunakan bahan-bahan segar sebagai ramuan, produk biskut dan kek Mira adalah 100 peratus buatan tangan. Tidak hanya cantik pada penampilan tetapi enak dimakan, kek cawan dan biskutnya nyata membuatkan orang kecur air liur.

Menurut Mira, tempahan paling banyak yang pernah diterimanya adalah daripada seorang pelanggan yang memesan berulang kali 200 biji kek cawan.

“Pada mulanya, pelanggan itu menempah 50 biji kek cawan untuk sambutan hari jadi anak kembarnya. Selepas itu, dia tambah bilangan tempahan lagi,” ceritanya.

HANYA berbekalkan daya kreativiti, Mira berjaya menjana pendapatan daripada jualan kek cawan dan biskutnya.

Tidak bercadang untuk mempromosikan produknya di bazar-bazar seperti kebanyakan orang, Mira mengakui lebih selesa menerima tempahan menerusi blognya (http://miracookiss.blogspot.com) atau panggilan telefon.

Blog berusia kurang setahun itu pada awalnya hanya berfungsi sebagai galeri Mira untuk berkongsi hobi barunya. Gadis yang murah dengan senyuman itu juga memberitahu, tempahan paling jauh yang pernah diterima adalah dari Kuching, Sarawak.

Meskipun produknya kini sudah sampai sejauh Bumi Kenyalang, Mira bagaimanapun tidak begitu selesa dengan tempahan dari jauh. Alasannya cukup ringkas.

“Saya masukkan hasil kerja kek cawan dan biskut dalam blog pun sekadar untuk berkongsi cerita. Risiko kek rosak adalah agak tinggi apabila dihantar ke destinasi yang jauh. Nanti reputasi buruk, saya yang kena tanggung.

“Misalnya, pernah sekali saya hantar tempahan dan kek cawan itu terbalik. Itu memang silap saya. Jadi, kena buat balik untuk pelanggan,” ujarnya.

Namun, pengalaman paling lucu bergelar seorang usahawan kecil dan blogger berlaku apabila Mira sering digelar ‘Puan’ melalui corong telefon. Setiap kali, produk itu dihantar sendiri kepada pemiliknya, ramai yang terjerit kecil apabila melihat Mira yang rupa-rupanya seorang gadis berusia 20-an.

Dalam aspek kutipan hasil jualan pula, dia memberitahu, pembatalan tempahan oleh pelanggan dalam masa tiga hari sebelum tarikh penghantaran tidak akan dilayan.

“Saya sudah tulis dengan jelas terma dan syarat pembayarannya. dalam blog. Jadi, memang bayaran semula wang ringgit kepada pelanggan tidak akan dibuat jika tiba-tiba tempahan dibatalkan beberapa hari sebelum tempahan siap,” katanya yang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Tuhan untuknya itu.

Harga biskut bermula dari RM2.50 setiap satu sehingga RM45 sekotak (kira-kira 40 hingga 60 keping), bergantung kepada saiz dan komplikasi rekaan yang diperlukan. Sementara itu, harga kek cawan (saiz souffle cup medium) pula bermula dari serendah RM2.50 sehingga RM4 setiap satu.

Masih menganggap bisnes berskala kecil itu sebagai hobi, Mira bercadang untuk meneruskan pengajian ijazah sarjana yang menfokus pada penyelidikan Teknologi Nano di sebuah universiti awam tempatan mulai Julai ini.

Kosmo