Keistimewaan sup Abang Dan

May 20, 2009 by admin  
Fail di bawah Gerai, Warong & Pasar

DAGING pejal dipotong nipis untuk dicampur dengan perut, limpa, hati serta lidah lembu ke dalam bihun sup.

DAGING pejal dipotong nipis untuk dicampur dengan perut, limpa, hati serta lidah lembu ke dalam bihun sup.

SIAPA yang tidak kenal dengan Bihun Sup Abang Dan. Setiap orang yang berkunjung ke pekan Simpang Empat, Perlis, tentu tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kenikmatan bihun sup tersebut.

Keenakan bihun sup Abang Dan bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk tempatan, bahkan ada pelanggannya yang berkunjung buat kali pertama ke Perlis akan datang semula ke gerainya semata-mata untuk menikmati bihun itu.

30 tahun berniaga menjelaskan komitmen abang Din kepada perniagaan yang dijalankan beliau.

30 tahun berniaga menjelaskan komitmen abang Dan kepada perniagaan yang dijalankan beliau.

Setiap pengunjung yang datang ke gerai milik Azizan Puteh, 55, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati bihun sup daging lembu yang dicampur bersama organ dalaman seperti lidah lembu, perut, limpa dan hati.

Bahan-bahan lain yang terdapat dalam bihun sup Abang Dan termasuklah ubi kentang, selain sambal kicap untuk menambah selera pengunjung.

Azizan yang berpengalaman menjual bihun sup selama lebih 30 tahun itu berkata, beliau menggunakan daging lembu tempatan dan import sebanyak 30 kilogram sehari manakala organ dalaman pula kira-kira 20 kilogram.

KEENAKAN bihun sup Abang Dan menggamit kedatangan pelanggan dari kawasan berdekatan serta luar pekan Simpang Empat, Perlis.

KEENAKAN bihun sup Abang Dan menggamit kedatangan pelanggan dari kawasan berdekatan serta luar pekan Simpang Empat, Perlis.

Tambah beliau, harga bagi semangkuk bihun sup Abang Dan adalah RM3 untuk bihun biasa manakala RM4 untuk bihun sup istimewa.

Bagi orang ramai yang ingin berkunjung ke sana, mereka boleh menikmatinya pada bila-bila masa kerana ia dibuka setiap hari kecuali cuti umum dari pukul 3 petang hingga 10 malam.

Nama gerai: Bihun Sup Abang Dan
Lokasi: Simpang Empat, Perlis (berdekatan lampu isyarat pekan Simpang Empat)
Harga: Sup istimewa (RM4), Sup biasa (RM3)

Kosmo

Abang burger Seksyen 19

April 13, 2009 by admin  
Fail di bawah Gerai, Warong & Pasar

SIAPA sangka dengan hanya bermodalkan kira-kira RM500, seorang penjual burger mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan. Inilah hakikat yang telah dilalui oleh seorang peniaga burger, Faizal Muhammad, 39. Tekun bekerja dan keazaman yang kuat, bak kata pepatah Inggeris ‘no pain, no gain’ adalah pegangannya.

Bayangkanlah, setiap malam Faizal sanggup berembun di waktu malam, berpeluh-peluh menyiapkan burger hanya untuk memberi pendapatan lebih kepada ahli keluarganya.

Daripada melepak begitu sahaja, bersembang kosong hingga ke waktu tengah malam tanpa mendapat sesen duit, lebih baiklah berniaga. Dan untuk memastikan burgernya menjadi pilihan pelanggan, rasa dan skil perlu ada kelainan.

FAIZAL Muhammad (kiri) dan sahabatnya yang membantu menguruskan stok bahan untuk penyediaan burger di premis stokis miliknya di Shah Alam, Selangor.

FAIZAL Muhammad (kiri) dan sahabatnya yang membantu menguruskan stok bahan untuk penyediaan burger di premis stokis miliknya di Shah Alam, Selangor.

Bermula sejak 20 tahun lalu, menjual burger menjadi punca pendapatan utama Faizal menyara keluarga.

Pernah bekerja sebagai pembantu di restoran, bapa kepada tujuh anak ini boleh tersenyum bangga kerana telah memiliki dua gerai burger dan satu stokis pembekal burger di Shah Alam, Selangor.

“Sejak usia saya belasan tahun lagi saya telah berminat membelek majalah sajian untuk melihat resipi. Saya suka mencuba resipi dan menghasilkan resipi sendiri untuk sajian ahli keluarga, paling seronok bila masakan yang direka mendapat pujian,” Faizal mengimbas kenangan lalu.

Menceritakan tentang penglibatan beliau dalam dunia burger, Faizal berkata ia bermula secara kecil-kecilan dan separuh masa.

“Ketika itu, saya bekerja sebagai pekerja kilang, pada waktu malamnya saya berniaga burger. Memang seronok berniaga sendiri. Kiranya kitalah bos dan kita juga kuli.

“Pada masa yang sama saya memikirkan apakah kelainan yang boleh menarik pelanggan ke gerai burger saya. Salah satu cara dengan mencipta resipi istimewa untuk ditambah kepada resipi burger yang asal.

Persembahan

“Saya juga berlatih cara memasak seperti melambung daging untuk memberikan ‘persembahan’ kepada pelanggan sementara menunggu pesanan burger mereka siap,” ujar lelaki kelahiran Teluk Intan, Perak ini.

Setelah beberapa tahun berniaga secara separuh masa, Faizal mengambil keputusan untuk berniaga burger sepenuh masa.

“Saya dapati pendapatan menjual burger melebihi dari bekerja makan gaji, dari situ saya menanam tekad untuk lebih serius dalam perniagaan ini.

“Keuntungan dari jualan burger saya kumpul untuk memulakan sebuah lagi gerai burger dan untuk jangka masa panjang pula menjadi pembekal barangan burger,” katanya.

Gerai pertama yang dibuka Faizal ialah di Seksyen 19, berdekatan dengan Restoran Darul Ehsan, Shah Alam kemudian diikuti dengan gerai di Jalan Batas iaitu di hadapan rumahnya juga di Seksyen 19, Shah Alam.

Terlalu banyak suka duka yang dilalui oleh Faizal sepanjang 20 tahun berniaga burger di tepi jalan. Salah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah kisah seorang lelaki yang memesan 10 biji burger ayam special.

“Lelaki tersebut memesan 10 biji burger ayam special. Setelah saya siap membungkus semua pesanannya, lelaki tersebut mengambilnya dengan wajah bengis. Tanpa berkata apa-apa dia terus masuk ke dalam kereta, saya pun tergamam.

“Tak sangka dahlah tak bayar, dia sempat pula mengambil pisau pemotong daging burger saya.

“Apapun saya bersyukur kerana tidak mengalami kejadian buruk yang membahayakan nyawa,” ujarnya yang menganggap peristiwa tersebut satu pengajaran untuk tidak meletakkan pisau terdedah kepada pelanggan.

Selain peristiwa tersebut, Faizal juga tidak boleh melupakan peristiwa seekor kucing dilanggar di depan gerainya yang amat mengerikan.

Skil

Bagi pelanggan yang pernah memesan burger Faizal juga pasti tidak akan boleh melupakan skil Faizal membuat burger.

Mencari kelainan, Faizal membuat burger dengan gayanya sendiri, dia akan membuat lambungan daging tinggi dan menangkap dengan penuh gaya.

Itulah kelainan selain dari rasa burger yang begitu lazat hasil eksperimennya sendiri.

Kini Faizal sudah mampu memiliki rumah yang besar dan perniagaan yang stabil. Malah dia turut memiliki sebuah premis dan lori sendiri sebagai stokis kepada peniaga burger lain. Dengan pendapatan seumpama seorang jurutera di syarikat swasta, Faizal bersyukur dan jauh di sudut hatinya rasa puas kerana dapat membahagiakan seluruh ahli keluarga.

Faizal merupakan antara tiga pemenang pertandingan membuat burger sempena Kembara Kejayaan Lady’s Choice anjuran Unilever Foodsolutions baru-baru ini. Dua lagi pemenang ialah Nazri Ismail dan Ruddy Ibrahim.

Utusan Malaysia