7 tahun jadi pembekal kuih

May 27, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

rahimahPengalaman selama 22 tahun mengusahakan kuih tradisional membolehkan dia menjadi pembekal kuih ke pusat peranginan terkenal di sini sejak tujuh tahun lalu.

Rahimah Ismail, 56, yang mengusahakan kuih tradisional bersama menantunya Wan Razlina Wan Razi, 30, kini giat membekalkan pelbagai jenis kuih untuk Sudara Beach Resort di sini sebagai pendapatan sampingan.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya mengusahakan kuih tradisional berkenaan secara kecil-kecilan, bagaimanapun setelah diberi bantuan dan peruntukan sebanyak RM10,000 dia dapat mengusahakan kuih-muih berkenaan dalam bentuk yang lebih komersial.

“Peruntukan berbentuk kelengkapan untuk memproses kuih yang diberi Jabatan Pertanian membolehkan saya menjalankan kerja pembuatan dengan lebih sempurna dan cepat lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pembuatan kuih sudah sebati dalam dirinya kerana ia merupakan pekerjaan kedua selain mengusahakan tanaman tembakau bersama suami.

“Sehari pernah buat antara 100 hingga 2,000 biji kuih bergantung kepada permintaan pelanggan ke pusat peranginan berkenaan, tetapi ia tidaklah sukar kerana kerja berkenaan telah menjadi kebiasaan saya,” katanya.

Sementara itu, menurut ibu kepada sembilan orang anak itu lagi, antara kuih yang dihasilkan termasuk seri ayu, karipap, sagu, roti goreng, dan apam balik.

Sinar Harian

Minyak kelapa dara

May 21, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

Khasiat minyak kelapa dara sememangnya telah tersebar bukan saja di kawasan Asia tetapi ke seluruh dunia.

Kelapa dulunya sering dikaitkan dengan kolestrol kerana dibayangi pelbagai keburukan yang memudaratkan kesihatan.

Kini minyak kelapa dara menjadi rebutan kerana khasiatnya yang telah diiktiraf secara saintifik.

Meninjau potensi minyak kelapa dara yang boleh berkembang lebih jauh, Natharuddin Jamaluddin, 51, mengambil inisiatif mempelajari kaedah memproses minyak kelapa dara.

Beliau mula meminati minyak kelapa dara selepas melawat beberapa pameran pertanian berhampiran Sungai Besar, Selangor.

“Selepas itu saya mula mengikuti kursus kaedah menghasilkan minyak kelapa dara yang diadakan oleh Pusat Latihan Pertanian di Serdang, Selangor,” katanya semasa ditemui di Pusat Pemprosesan Minyak Kelapa Dara, Pejabat Pertanian Batu 39, Sungai Besar, Selangor.

Sementelah itu harga kelapa adalah rendah dan boleh didapati dengan banyak, menyebabkan beliau menjalankan usaha menghasilkan minyak kelapa dara sepenuh masa.

Natharuddin berbangga dengan minyak kelapa dara yang dihasilkan sendiri.

Natharuddin berbangga dengan minyak kelapa dara yang dihasilkan sendiri.

Bagaimanapun, perniagaan yang dijalankan sebaik tamat habis kursus itu menyebabkan Natharuddin mengalami kerugian.

“Ketika itu saya banyak membuat eksperimen dan belum lagi mahir dalam kaedah pemprosesan yang betul.

“Walaupun telah menjalani kursus, membuat sendiri memerlukan keazaman yang kuat untuk berjaya,” katanya.

Natharuddin berkata, bagi menghasilkan minyak kelapa dara memerlukan kelapa yang betul-betul tua atau telah gugur.

Menurutnya, apa saja jenis kelapa boleh digunakan asalkan sudah cukup matang atau tua.

Bagi menghasilkan satu liter minyak kelapa dara, Natharuddin memerlukan 10 hingga 20 biji kelapa.

Kelapa yang telah siap diparut akan diperah untuk diambil santannya dan ditambah air paip dengan nisbah 1:1.

Santan tadi akan ditambah dengan lapisan minyak kelapa dara dan disimpan selama lapan hingga 15 jam pada suhu bilik.

“Minyak kelapa dara yang diletakkan di atas lapisan santan tadi bertindak sebagai ‘umpan’ atau pemangkin dalam penghasilan minyak kelapa dara,” katanya.

Selepas 15 jam akan terdapat tiga lapisan dengan lapisan minyak kelapa dara di tengah-tengah.

Lapisan minyak tadi akan diasingkan dan ditapis menggunakan kertas turas atau tisu dengan kapas.

Selepas itu hasil turasan akan dibekukan bagi mengasingkan getah kelapa yang menyebabkan bau tengik.

Selepas minyak tadi cair, ia akan dituras dua kali lagi dengan menggunakan lapisan kapas lebih ketat yang mengambil masa lebih kurang lima hari.

“Biasanya proses menghasilkan minyak kelapa dara mengambil masa lebih kurang seminggu,” katanya.

Natharuddin berkata, secara purata beliau boleh memproses sehingga 200 biji kelapa sehari bagi menghasilkan 10 liter minyak kelapa dara bergantung kepada permintaan.

Mengenai pasaran, beliau menjalankan pemasaran secara kecil-kecilan dan menerusi ekspo dan pameran.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan minyak kelapa dara Natharuddin boleh menghubunginya di 019-2991347.

Utusan Malaysia

Keistimewaan sup Abang Dan

May 20, 2009 by admin  
Fail di bawah Gerai, Warong & Pasar

DAGING pejal dipotong nipis untuk dicampur dengan perut, limpa, hati serta lidah lembu ke dalam bihun sup.

DAGING pejal dipotong nipis untuk dicampur dengan perut, limpa, hati serta lidah lembu ke dalam bihun sup.

SIAPA yang tidak kenal dengan Bihun Sup Abang Dan. Setiap orang yang berkunjung ke pekan Simpang Empat, Perlis, tentu tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kenikmatan bihun sup tersebut.

Keenakan bihun sup Abang Dan bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk tempatan, bahkan ada pelanggannya yang berkunjung buat kali pertama ke Perlis akan datang semula ke gerainya semata-mata untuk menikmati bihun itu.

30 tahun berniaga menjelaskan komitmen abang Din kepada perniagaan yang dijalankan beliau.

30 tahun berniaga menjelaskan komitmen abang Dan kepada perniagaan yang dijalankan beliau.

Setiap pengunjung yang datang ke gerai milik Azizan Puteh, 55, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati bihun sup daging lembu yang dicampur bersama organ dalaman seperti lidah lembu, perut, limpa dan hati.

Bahan-bahan lain yang terdapat dalam bihun sup Abang Dan termasuklah ubi kentang, selain sambal kicap untuk menambah selera pengunjung.

Azizan yang berpengalaman menjual bihun sup selama lebih 30 tahun itu berkata, beliau menggunakan daging lembu tempatan dan import sebanyak 30 kilogram sehari manakala organ dalaman pula kira-kira 20 kilogram.

KEENAKAN bihun sup Abang Dan menggamit kedatangan pelanggan dari kawasan berdekatan serta luar pekan Simpang Empat, Perlis.

KEENAKAN bihun sup Abang Dan menggamit kedatangan pelanggan dari kawasan berdekatan serta luar pekan Simpang Empat, Perlis.

Tambah beliau, harga bagi semangkuk bihun sup Abang Dan adalah RM3 untuk bihun biasa manakala RM4 untuk bihun sup istimewa.

Bagi orang ramai yang ingin berkunjung ke sana, mereka boleh menikmatinya pada bila-bila masa kerana ia dibuka setiap hari kecuali cuti umum dari pukul 3 petang hingga 10 malam.

Nama gerai: Bihun Sup Abang Dan
Lokasi: Simpang Empat, Perlis (berdekatan lampu isyarat pekan Simpang Empat)
Harga: Sup istimewa (RM4), Sup biasa (RM3)

Kosmo

Kraf batang pisang

May 18, 2009 by admin  
Fail di bawah Seni & Kraf

DAUNNYA diambil sebagai bungkusan nasi lemak, manakala batangnya digunakan sebagai tempat memacak bunga telur dan pahar ketika majlis perkahwinan. Ini antara kepentingan utama pokok pisang, tetapi fungsinya seakan-akan tidak wujud bagi aspek hiasan dalaman.

Mohd Rostam menunjukkan kotak hadiah diperbuat daripada batang pisang.

Mohd Rostam menunjukkan kotak hadiah diperbuat daripada batang pisang.

Tanggapan inilah sebaliknya yang cuba diubah Going Bananas (GB) - syarikat industri kecil di bawah Koperasi Usaha Kampung Balik Pulau (KUKAM) apabila menghasilkan produk hiasan dan barangan kraf daripada batang pisang.

“Formula menghasilkan produk rumah menggunakan batang pisang diilhamkan seorang pensyarah seni Universiti Sains Malaysia (USM). Bahkan, kajian serta penyelidikannya enam tahun lalu juga dibantu universiti ini,” kata Penolong Pengurusnya, Mohd Rostam Rahim.

Rostam berkata, proses mengubah batang pisang menjadi kertas dilakukan oleh mesin khas. Kertas sebelum disembur penyembur angin bagi tujuan memberi warna padanya, mempunyai tekstur kasar serta berserat.

“Cirinya yang bertekstur itu menyebabkan kertas dihasilkan tidak renyuk dan lembik apabila direndam dalam air, manakala tujuan menyembur warna pada kertas selain supaya nampak cantik, juga berfungsi menutup liang tekstur,” katanya.

Kotak serba guna bentuk kerang.

Kotak serba guna bentuk kerang.

Kata Rostam, pilihan semburan warna berupaya menentukan cita rasa. Mereka yang inginkan sentuhan mewah, lazimnya memilih warna keemasan manakala yang memburu gaya kontemporari, berminat dengan warna kilauan perak.

“Produk yang sudah siap seterusnya disapu barnis supaya kukuh dan tahan lasak. Kesan yang ditampilkan cukup luar biasa hingga sekali pandang, ramai yang menyangka produk ini diperbuat daripada logam atau kayu padahal ia kertas,” katanya yang selain kotak menyimpan barang kemas, GB turut menawarkan bekas tisu, kotak serba guna dan kotak hiasan lainnya.

Meskipun kajian dan penyelidikannya dilakukan enam tahun lalu, projek mengusahakan barangan kraf daripada batang pisang ini hanya bermula Disember tahun lalu.

Gambar atas, kotak hadiah bertatah hiasan bunga. Gambar bawah, bekas tisu.

Gambar atas, kotak hadiah bertatah hiasan bunga. Gambar bawah, bekas tisu.

“Biarpun memakan masa lama untuk tampil di pasaran, kami berkeyakinan kraf keluaran kami berupaya menambat selera umum. Buktinya, biarpun tidak berapa lama berada di pasaran, saya diberitahu produk ini mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan pelancong Jepun,” katanya.
Gambar atas, kotak hadiah bertatah hiasan bunga. Gambar bawah, bekas tisu.

Mengenai sumber serta bekalan bahannya, Rostam memberitahu, ia diperoleh daripada pekebun yang mengusahakan tanaman berkenaan baik secara persendirian mahupun komersial.

Secara anggaran, Rostam memaklumkan 500 pokok pisang ditebang dalam tempoh sebulan dan sekurang-kurangnya dua hari diperuntukkan bagi menyiapkan sebuah kotak hiasan.

Selain itu, bagi penggemar kraf yang berminat menghasilkan sendiri produk kraf, GB menawarkan kertas daun pisang untuk dibeli.

“Membuatnya sendiri lebih seronok serta tidak sukar kerana kertasnya lembut dan senang dibentuk. Kami bersedia menunjuk ajar cara membuatnya jika diminta berbuat demikian,” katanya.

Berita Harian

Mengkomersial inang-inang

May 18, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

Bermula dengan sekadar menolong ibunya membuat sejenis kuih tradisional berasaskan pulut sejak berusia 12 tahun, Ab. Rahman Saleh, 51, tidak menyangka, kini kuih inang-inang buatannya itu berjaya dikomersialkan.

Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Tembakau di sini berkata, dia tidak menyangka, perniagaan yang dimulakan arwah ibunya, Halimah Salleh secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu berjaya diwarisinya sehingga kini.

Menurut Ab. Rahman, selepas 10 tahun menjalankan perniagaan kuih inang-inang, beliau kini boleh berbangga kerana kuih tradisional itu mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan.

Ab. Rahman Saleh (kanan) bersama pekerja membungkus kuih inang-inang keluaran syarikatnya untuk dipasarkan sekitar Melaka.

Ab. Rahman Saleh (kanan) bersama pekerja membungkus kuih inang-inang keluaran syarikatnya untuk dipasarkan sekitar Melaka.

Selain Melaka, kuih inang-inang buatannya yang dinamakan Inang-inang Bukit Tembakau turut dipasarkan di beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Selain itu, ia turut dipasarkan di beberapa pasar raya besar seperti Tesco dan Jaya Jusco.

Menceritakan detik bagaimana beliau mula-mula menceburkan diri dalam bidang itu, pesara kerajaan ini berkata, semuanya kerana ingin memastikan kuih tradisional itu terus dinikmati dan diwarisi generasi masa depan.

”Sejak membantu arwah emak lagi, saya mula berfikir cara bagaimana untuk melebarkan lagi perniagaan kuih ini supaya ia terus dikenali dan digemari.

”Apatah lagi Melaka sebagai negeri pelancongan, tentu sekali akan memudahkan lagi usaha mempromosikan kuih inang-inang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, beliau bersyukur apabila usahanya itu membuahkan kejayaan setelah 10 tahun menceburi bidang perusahaan makanan tradisional itu.

”Saya beryukur apabila kini mampu menghasilkan sebanyak 150 bungkus inang-inang sehari berbanding dahulu sebanyak 30 bungkus sahaja.

”Dalam sebulan, iaitu selama 20 hari bekerja, saya mampu menghasilkan 3,000 bungkus inang-inang dan jumlah ini akan bertambah berdasarkan permintaan,” katanya.

Menurut Ab. Rahman, inang-inang buatannya itu dihasilkan dalam lima perasa berlainan iaitu perasa asli, udang, pulut hitam, bawang putih dan sagu.

”Setiap bungkus inang-inang pula dijual pada harga RM1.50 kepada pemborong yang kemudian menjual pada harga RM2.50 di pasaran,” katanya.

Tambah Ab. Rahman, selain memberi pendapatan, perniagaannya itu juga secara tidak langsung telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan di kalangan penduduk sekitar.

”Alhamdulillah, semakin hari, bilangan pekerja saya semakin bertambah,” katanya sambil menambah menggunakan khidmat sebanyak 10 orang pekerja ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, bilangan pekerja yang lebih ramai diperlukan apabila mendapat permintaan tinggi seperti menjelang Hari Raya Aidilfitri, musim kenduri kahwin ataupun majlis-majlis keraian yang lain.

Bapa kepada 13 orang anak ini menambah, perusahaannya itu juga semakin berkembang apabila mendapat suntikan semangat dan modal daripada Jabatan Pertanian negeri.

”Empat tahun setelah memulakan perusahaan ini, pihak Jabatan Pertanian telah memberi peruntukan bernilai RM30,000 dengan membina sebuah tempat memproses bersebelahan rumah saya.

”Selain itu, mereka juga memantau perkembangan perniagaan saya termasuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar,” katanya.

Mengenai proses membuat inang-inang, Ab. Rahman berkata, pulut akan di basuh terlebih dahulu dan kemudian direndam semalaman.

”Pulut berkenaan kemudiannya dikukus dan kemudian diperap dengan bekas khas seterusnya dijemur selama seharian,” jelas beliau.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang ingin membuat tempahan kuih Inang-inang Bukit Tembakau untuk sebarang majlis boleh menghubungi Ab. Rahman di talian 06-2618810.

Utusan Malaysia

Karipap sejukbeku

May 17, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

Kay Kay Worldwide Marketing Sdn. Bhd. (KKWMSB) ditubuhkan khusus untuk menguruskan pemasaran produk makanan sejuk beku terutamanya karipap yang dihasilkan Anak Tempatan Holding Sdn. Bhd. (ATHSB).

Menurut Pengarah Urusan KKWMSB, Kamaruddin Jauhad, 43, syarikatnya sentiasa mengalu-alukan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang berminat menghasilkan karipap secara pengilangan kontrak dan pembungkusan kontrak menerusi kilang ATHSB.

Beliau yang berasal dari Muar, Johor, berkata, konsep pengilangan kontrak dan pembungkusan kontrak sesuai dipraktikkan oleh para pengusaha IKS yang kekurangan modal untuk membiayai pembelian mesin dan penyediaan premis.

Kuih-kuih tradisional jika dirancang dan dipasarkan dengan betul mampu berkembang menjadi industri yang berpotensi.

Kuih-kuih tradisional jika dirancang dan dipasarkan dengan betul mampu berkembang menjadi industri yang berpotensi.

”Pada masa ini, KKWMSB memberi tumpuan kepada para pengusaha IKS sekitar negeri ini, Melaka dan Lembah Kelang. Selain karipap, kami turut membuat dan memasarkan donat sejuk beku,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kamaruddin yang telah berkecimpung dalam bidang keusahawanan selama 20 tahun memberitahu, karipap sejuk beku dipasarkan oleh KKWMSB dalam pek 25 biji atau 50 biji.

Tambahnya, syarikatnya sentiasa bersedia membekalkan karipap sejuk beku dengan kuantiti setiap pek yang lebih besar mengikut permintaan pelanggan.

”Pengusaha IKS yang ingin memasarkan karipap sejuk beku dengan jenama sendiri boleh berbuat demikian melalui khidmat pembungkusan kontrak yang kami tawarkan,” jelasnya.

Selain pengusaha IKS, ujar Kamaruddin, KKWMSB turut bersedia membekalkan karipap sejuk beku kepada pasar raya besar, kedai runcit, hotel, institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan serta kem Pusat Latihan Khidmat Negara.

Dia berkata, tiada sebarang caj penghantaran dikenakan ke atas pelanggan di sekitar negeri ini, Melaka dan Lembah Klang yang membuat pesanan minimum 5,000 karipap sejuk beku.

”Bagi pesanan dengan kuantiti yang lebih kecil, pelanggan perlu membayar kos pengangkutan atau mereka boleh datang sendiri ke kilang ATHSB di No. 113, Jalan Nilai 3/12, Kawasan Perindustrian Nilai 3, dekat sini.

”Pelanggan digalakkan datang semasa kilang kami beroperasi iaitu dari pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang, setiap Isnin hingga Sabtu,” jelasnya.

Menurut Kamaruddin, pesanan boleh dibuat dengan menghubunginya di talian 016-6605375 atau Khairulnizam Samshi di talian 012-7396768.

Di samping itu, dia berkata, KKWMSB turut menerima pesanan atau sebarang pertanyaan melalui faksimile di talian 06-7998580 serta e-mel di alamat ‘King.karipap@gmail.com’.

Utusan Malaysia

Berbaloi ternak lembu

May 8, 2009 by admin  
Fail di bawah Pertanian & Ternakan

Melihat sendiri bagaimana seorang penternak memanggil ternakan lembunya dengan ‘bahasa’ tersendiri, memang sesuatu yang mengasyikkan bagi mereka yang belum pernah berpengalaman menyaksikannya.

Tapi itulah yang boleh disaksikan semasa menemubual seorang penternak yang mempunyai hampir 200 ekor lembu di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Baginya, lembu pertama yang dibelinya dan diberikan nama Atan amat istimewa dan terus dipelihara sehingga ke hari ini.

Bagi penternak terbabit , bekerja keras dan bersemangat untuk memajukan diri adalah kunci baginya mencapai kejayaan.

Bermula dengan bekerja di bahagian penyelenggaraan di Hospital Jerantut, Pahang, lebih kurang 10 tahun lalu, Muhammad Rohaimi Amiruddin, 29, kini mempelbagaikan usahanya termasuk dalam industri ternakan.

‘Karier’ awalnya bermula sebagai kontraktor Kelas F semasa berkhidmat di Hospital Jerantut, yang mula membuka pintu rezekinya meskipun tiga tahun dilalui tanpa sebarang projek.

Tanpa mengenal putus asa, dalam tempoh tiga tahun itu, Muhammad Rohaimi tetap dengan tugasnya di Hospital Jerantut sehinggalah dia memperoleh projeknya yang pertama.

Hasil pendapatan daripada projek berkenaan dilaburkan dengan membeli 10 ekor lembu atas nasihat rakan-rakannya.

“Pada mulanya saya membeli baka lembu dan dilepaskan di kebun ayah saya,” katanya semasa ditemui di ladang sawit Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Lebih 400 ekor lembu dipelihara secara integrasi oleh tiga individu berbeza di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Lebih 400 ekor lembu dipelihara secara integrasi oleh tiga individu berbeza di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Apabila mendapat kontrak demi kontrak dan syarikat tempatnya bekerja menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), Rohaimi menerimanya. Setelah itu, bermulanya kehidupannya sebagai seorang penternak lembu dan kontraktor Kelas F.

Melabur

Hasil daripada pelbagai jenis projek yang diterima, Muhammad Rohaimi laburkan dengan membeli lembu bagi menambah bilangan ternakannya.

Selepas mendapat kontrak membersihkan ladang sawit LKPP seluas 4,000 ekar bersama-sama dengan dua rakan lain, Rohaimi mula membeli lebih banyak lembu untuk diletakkan di ladang berkenaan.

“Sebelum itu, dengan hanya beberapa ekor lembu saya letakkannya di sana, tetapi apabila saya mula menambah bilangan lembu kepada lebih 50 ekor, saya meminta kebenaran untuk menyewa tanah ladang bagi melepaskan semua ternakan tersebut,” katanya.

Menternak lembu di kawasan ladang sawit, kata Rohaimi, amat menjimatkan kerana lembu yang dipelihara mudah mendapat makanan dan ladang juga bersih.

Najis lembu

Pada masa sama, najis lembu juga boleh digunakan untuk menyuburkan tanah di ladang kelapa sawit berkenaan.

Usahanya tidak diteruskan dengan menambah bilangan lembu dengan membeli pelbagai jenis lembu seperti Brahman, LID, Charolais, Kedah-Kelantan (KK) dan Draughtmaster daripada rakan-rakan dan penduduk sekitar daerah Jerantut.

Menyentuh mengenai kos menternak lembu secara integrasi, Rohaimi berkata, kosnya amat rendah kerana hanya perlu membeli air gula, ubat-ubatan dan garam.

Bagaimanapun, dia u perlu membeli tiga set pagar elektrik bagi mengelakkan ternakan tersebut merayau keluar ke kebun penduduk kampung.

“Satu set pagar elektrik bagi kawasan 10 ekar lengkap dengan bateri berharga sekitar RM2,000,” katanya.

Sehingga kini ladang berkenaan menjadi tempat tinggal lebih 400 ekor lembu daripada tiga individu yang berlainan.

“Di sini kami sama-sama menjaga ternakan secara gotong-royong kerana kami mengenali lembu masing-masing.

“Setiap hari pekerja akan meninjau keadaan lembu dan mengenalpasti masalah seperti penyakit dan masalah lain,” katanya yang mempunyai enam orang pekerja untuk tugas-tugas membersihkan ladang.

Setiap petang beliau yang mempunyai hampir 200 ekor lembu akan pergi meninjau keadaan lembunya sambil membawa bancuhan air gula merah.

Menyentuh mengenai pasaran, Rohaimi berkata setakat ini pasaran lembu amat menggalakkan terutama menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.

Bagaimanapun Rohaimi biasanya akan membeli lembu-lembu lagi bagi menggantikan lembu yang telah dijual.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, anak muda yang penuh wawasan ini merancang untuk menambahkan lagi bilangan lembu-lembunya.

“Apabila saya menjual lembu, saya akan membeli lagi untuk menambah bilangan ternakan saya,” katanya dengan penuh semangat.

Utusan Malaysia

Usahawan ternakan kolam

May 7, 2009 by admin  
Fail di bawah Pertanian & Ternakan

Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

”Saya sudah bosan,” katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu.

Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

Ikan keli yang diternak oleh syarikat Dimensi Rebana sentiasa mendapat permintaan.

Ikan keli yang diternak oleh syarikat Dimensi Rebana sentiasa mendapat permintaan.

Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.

Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang.

Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain.

Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali.

Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan.

”Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, ” katanya.

Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.

Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam.

Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg).

Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan.

Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak.

Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad.

Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.

Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya.

Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

”Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,”ujarnya.

Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya.

Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

”Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan,” ujar Hanafiah.

Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.

Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03- 77833111 ( pejabat jualan di 53, PJS 1/48, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya) atau emel : puntius@streamyx.com atau layari http://dimensirebana.blogspot.com atau http://oxymarmoratus.blogspot.com. Mereka juga boleh datang terus ke pusat pembenihan di Kg. Bukit Kecil, Jalan Sg Pasir-Batu LIntang, Sg Petani Selatan.

Utusan Malaysia

Bisnes pastri graduan Fizik

April 22, 2009 by admin  
Fail di bawah Pembuatan Makanan

KELIHATAN kek cawan tersusun kemas di atas dulang. Di atas setiap satu kek itu pula terhias pelbagai peralatan pejabat dalam saiz mini. Ada pena hitam, pensel dan pemadam, klip kertas, komputer riba serta buku nota. Malah, segala peralatan tadi termasuk beberapa akhbar kompak Kosmo! semuanya hanya sebesar saiz syiling 20 sen! Terlalu comel dan sayang untuk dimakan.

Jika difikirkan sejenak, pasti pembuat kek cawan itu seorang chef profesional yang teliti dengan hasil kerjanya ataupun suri rumah yang sudah terlalu arif dengan bab masakan.

Realitinya, hasil kerja kek-kek cawan tadi datangnya daripada seorang graduan muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga pemegang ijazah jurusan Fizik!

Pelik? Tidak perlu pelik kerana jika sudah minat, pasti ia bukan sesuatu yang mustahil. Minat awal Amirah Muhamad Akhir terhadap kek cawan bermula secara suka-suka sewaktu melanjutkan pengajian di menara gading.

“Masa belajar di universiti, saya suka buka Internet dan tengok kek cawan yang dihasilkan oleh orang lain. Mungkin sebab masa sekolah dulu saya suka subjek Pendidikan Seni. Jadi, secara naturalnya, saya tiada masalah untuk menghias kek cawan,” katanya saat ditemui Kosmo! di kediaman keluarganya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mira menyiapkan tempahan dan memastikan produknya memberi kepuasan kepada pelanggan.

Mira menyiapkan tempahan dan memastikan produknya memberi kepuasan kepada pelanggan.

Menurut Amirah yang lebih mesra disapa Mira, bakat membuat kek dan biskut mungkin diwarisi daripada neneknya. Tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang pembuatan kek atau pastri, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu kemudian mengikuti dua bengkel membuat kek sebelum mencubanya berkali-kali di rumah.

Daripada sekadar suka-suka membuatnya, gadis berusia 23 tahun itu akhirnya melibatkan diri dalam hobi barunya secara aktif sejak Mei tahun lalu. Anak kepada seorang pesara kakitangan swasta itu memberitahu, dia bertuah kerana mendapat sokongan daripada kedua-dua orang tuanya.

“Kadang-kadang waktu buat kek cawan, bapa datang tolong. Begitu juga dengan adik saya. Bapa bagi nasihat dari aspek logistik. Mak pula lebih kepada bahagian penentuan harga produk,” jelasnya.

Pada awal penglibatannya dalam hobi itu, Mira pernah menghasilkan biskut dan kek cawan untuk ibunya. Katanya, sampel-sampel produk hari raya itu kemudian menjadi batu loncatan untuknya membuka bisnes kecil tersebut. Bisnes kecil-kecilan itu kini berkembang menjadi sebuah syarikat membuat biskut, kek dan pastri milik Mira.

Resipi-resipi yang dipelajari sendiri diperkemaskan menerusi tunjuk ajar yang diterimanya daripada Chef Nor Zailina. Selain buku dan Internet, Mira rajin mengirim soalan kepada Nor Zailina untuk mendapatkan sukatan yang tepat bagi adunan kek dan biskutnya.

Memberi tumpuan kepada biskut atau kek custom-made, Mira biasanya menerima tempahan untuk pelbagai majlis keramaian. Namun, sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada gadis remaja yang membuat tempahan untuk hadiah hari jadi kekasih mereka.

“Tengok ni…, lazimnya perempuan suka tempah kek cawan macam ini (sambil menunjukkan sebiji kek besar daripada gabungan 25 kek cawan kecil).

“Mereka tahu teman lelaki suka kelab-kelab bola sepak tertentu dan itulah yang akan dipilih sebagai coraknya. Kek kelab Manchester United (MU) biasanya paling laris,” ujarnya tertawa.

Bercerita tentang corak dan rekaan, antara permintaan pelik yang pernah diterimanya termasuk menghasilkan kek bermotifkan Barney tiga dimensi dan beg Louis Vuiton. Kek Barney itu, jelasnya, memakan masa sehari untuk disiapkan.

Comel, cantik dan sedap..

Comel, cantik dan sedap..

Berbanding kek, Mira merasakan dekorasi di atas biskut lebih susah memandangkan tiada had untuk mengisi penampilan sesebuah biskut.

Jika diamati, sudah menjadi signatur produk kek Mira terdiri daripada gabungan berbiji-biji kek cawan. Justeru, tidak hairanlah mengapa kek cawan Mira begitu popular dalam kalangan pelanggan tetap mahupun pelanggan baru.

Sebelum setiap produknya dihasilkan, lakaran rekaan akan dilukiskan di atas sehelai kertas. Idea gabungan warna yang bersesuaian dan susun atur corak-corak mini perlu ditentukan terlebih dahulu.

Walaupun proses itu kedengaran agak ringkas dan mudah, hakikatnya kadangkala Mira juga ketandusan idea.

“Ada ketika sampai semalaman, saya tidak dapat idea. Jadi, idea itulah yang mahal harganya,” jelasnya jujur.

Menggunakan bahan-bahan segar sebagai ramuan, produk biskut dan kek Mira adalah 100 peratus buatan tangan. Tidak hanya cantik pada penampilan tetapi enak dimakan, kek cawan dan biskutnya nyata membuatkan orang kecur air liur.

Menurut Mira, tempahan paling banyak yang pernah diterimanya adalah daripada seorang pelanggan yang memesan berulang kali 200 biji kek cawan.

“Pada mulanya, pelanggan itu menempah 50 biji kek cawan untuk sambutan hari jadi anak kembarnya. Selepas itu, dia tambah bilangan tempahan lagi,” ceritanya.

HANYA berbekalkan daya kreativiti, Mira berjaya menjana pendapatan daripada jualan kek cawan dan biskutnya.

Tidak bercadang untuk mempromosikan produknya di bazar-bazar seperti kebanyakan orang, Mira mengakui lebih selesa menerima tempahan menerusi blognya (http://miracookiss.blogspot.com) atau panggilan telefon.

Blog berusia kurang setahun itu pada awalnya hanya berfungsi sebagai galeri Mira untuk berkongsi hobi barunya. Gadis yang murah dengan senyuman itu juga memberitahu, tempahan paling jauh yang pernah diterima adalah dari Kuching, Sarawak.

Meskipun produknya kini sudah sampai sejauh Bumi Kenyalang, Mira bagaimanapun tidak begitu selesa dengan tempahan dari jauh. Alasannya cukup ringkas.

“Saya masukkan hasil kerja kek cawan dan biskut dalam blog pun sekadar untuk berkongsi cerita. Risiko kek rosak adalah agak tinggi apabila dihantar ke destinasi yang jauh. Nanti reputasi buruk, saya yang kena tanggung.

“Misalnya, pernah sekali saya hantar tempahan dan kek cawan itu terbalik. Itu memang silap saya. Jadi, kena buat balik untuk pelanggan,” ujarnya.

Namun, pengalaman paling lucu bergelar seorang usahawan kecil dan blogger berlaku apabila Mira sering digelar ‘Puan’ melalui corong telefon. Setiap kali, produk itu dihantar sendiri kepada pemiliknya, ramai yang terjerit kecil apabila melihat Mira yang rupa-rupanya seorang gadis berusia 20-an.

Dalam aspek kutipan hasil jualan pula, dia memberitahu, pembatalan tempahan oleh pelanggan dalam masa tiga hari sebelum tarikh penghantaran tidak akan dilayan.

“Saya sudah tulis dengan jelas terma dan syarat pembayarannya. dalam blog. Jadi, memang bayaran semula wang ringgit kepada pelanggan tidak akan dibuat jika tiba-tiba tempahan dibatalkan beberapa hari sebelum tempahan siap,” katanya yang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Tuhan untuknya itu.

Harga biskut bermula dari RM2.50 setiap satu sehingga RM45 sekotak (kira-kira 40 hingga 60 keping), bergantung kepada saiz dan komplikasi rekaan yang diperlukan. Sementara itu, harga kek cawan (saiz souffle cup medium) pula bermula dari serendah RM2.50 sehingga RM4 setiap satu.

Masih menganggap bisnes berskala kecil itu sebagai hobi, Mira bercadang untuk meneruskan pengajian ijazah sarjana yang menfokus pada penyelidikan Teknologi Nano di sebuah universiti awam tempatan mulai Julai ini.

Kosmo

Gemilang berkat kesabaran

April 16, 2009 by admin  
Fail di bawah Agensi - Jualan Langsung, MLM

MEREKA muncul daripada kelompok latar belakang berbeza, ada beberapa kali terpaksa menyerah kalah dalam perniagaan dan ada berhadapan kemelut kemiskinan hidup.

MEREKA muncul daripada kelompok latar belakang berbeza, ada beberapa kali terpaksa menyerah kalah dalam perniagaan dan ada berhadapan kemelut kemiskinan hidup.

MEREKA muncul daripada kelompok latar belakang berbeza, ada beberapa kali terpaksa menyerah kalah dalam perniagaan dan ada berhadapan kemelut kemiskinan hidup.

Namun, berkat kegigihan dan kesabaran, mereka mampu menempatkan diri di kalangan penerima Anugerah Avon 2009.

“Usahkan motosikal, basikal pun saya tak ada ketika itu. Namun, saya tekad tidak mahu hidup susah seperti dulu.

“Ketika menyertai Avon, saya berjalan kaki menjual barangan. Jika jauh, saya naik bas sehingga mampu membeli kereta pada 1995,” kata Zainun Tahir yang menerima pengiktirafan antara wakil Avon Malaysia terbaik untuk pencapaiannya tahun lalu.

Menyertai Avon sejak belasan tahun lagi (1990), dia yang berasal dari Kemaman, Terengganu bersyukur hidup senang selepas bersama Avon dan kini memiliki tiga kereta, sebuah rumah kedai dan dua banglo.

Zainun menempatkan dirinya tujuh tahun berturut-turut antara 10 wakil terbaik Avon malah tahun lalu, dia menerima pengiktirafan Wakil Avon Nombor Satu.

“Rahsia saya mudah saja iaitu kerja keras dan yakin pada diri sendiri. Selain itu, jangan berkira sangat dengan pelanggan.

“Apabila kita tak berkira, pelanggan pun suka dan mesra dengan kita,” kata ibu dua anak yang ditemui pada majlis Anugerah Avon 2009 di Putrajaya, baru-baru ini.

Dia tidak menyangka rezekinya melimpah ruah selain berpeluang ke pelosok dunia termasuk Filipina, Indonesia, Thailand, London, Perancis dan Belanda.

Bagi Annie Cheng Hwa Ping, jatuh bangun dalam perniagaan adalah asam garam dalam hidupnya terutama ketika kegawatan ekonomi kira-kira 12 tahun lalu.

Namun, kesabaran menyertai keluarga Avon sejak tiga tahun lalu sambil menguruskan tiga restorannya, berbaloi akhirnya.

Berbekalkan risalah sebagai antara modal utama perniagaannya, wanita berasal dari Ranau, Sabah ini turut membeli produk bernilai RM3,000 terlebih dulu.

“Saya tidak bimbang melabur wang membeli produk kerana ia laris dalam tempoh tiga hari,” kata wanita yang dinobatkan Wakil Avon Nombor Satu Negara 2009.

Dia memandu sejauh dua jam setengah perjalanan ke butik Avon di Kota Kinabalu bagi mendapatkan barangan tetapi perjalanan sedemikian menjadi kebiasaan baginya.

Annie pernah menjadi guru sandaran dan ejen insurans sebelum berniaga sepenuh masa. Dia juga pernah membuka butik pakaian dan kosmetik selain kedai kek.

Ibu tiga anak ini mengakui insentif pelancongan Avon yang dianggap berbeza, antara tarikan menyertai syarikat itu.

“Saya melihat peluang perniagaannya berpotensi, apatah lagi barangan yang dijual berpatutan,” katanya.

Sentiasa mempamerkan senyuman, satu-satunya penerima anugerah lelaki untuk Pemimpin Jualan No 3 Avon, Lau Kong Ung, tidak pernah jemu dengan rutinnya mengunjungi pelanggan di kawasan pedalaman.

Lau, 46, anak jati Sarawak berbangsa Cina ini mengakui puas melihat pelanggan tersenyum lebar ketika dia membawakan barangan Avon ke ceruk desa itu.

“Memang jauh untuk mereka ke bandar mendapatkan barangan di butik Avon. Justeru, kehadiran saya memang mereka nantikan.

“Ia nyata berbaloi kerana selain keuntungan, saya menambah kenalan di pedalaman,” kata kerani perkapalan kelahiran Bitangor yang menjalankan perniagaan Avon secara sambilan sejak 13 tahun lalu ini.

Untuk kategori Wakil Avon, tempat kedua diraih Zaliha Mahmood (Bachok, Kelantan) manakala tempat ketiga disandang Zainun.

Kategori Pemimpin Jualan diraih Salmah Abdullah, 48, (Sibu, Sarawak) di tempat pertama manakala tempat kedua, Judy Tambol, 39, (Kuching, Sarawal) dan Lau di tempat ketiga.

Annie dan Salmah masing-masing menerima trofi, tiara, set barang kemas bernilai RM1,000, wang tunai RM2,000, hamper, plak pengiktirafan, selendang dan sejambak bunga.

Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi dua kategori berkenaan turut menerima set barangan kemas, wang tunai, hamper, plak pengiktirafan dan sejambak bunga.

Majlis anugerah berkenaan disempurnakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen serta Presiden Avon Malaysia, Thailand dan Vietnam, Mansoor Wan Abdullah.

Harian Metro

Mukasurat Berikutnya »