Graduan wajar teroka industri tani
ALOR SETAR- Graduan di negeri ini disarankan supaya lebih berdaya maju bagi menerokai industri tani dalam usaha meningkatkan ekonomi menerusi penambahbaikkan produk hasil tani.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri, Mohammad Radzhi Salleh berkata, memandangkan masih ramai graduan tidak mempunyai pekerjaan, adalah lebih baik sekiranya golongan itu memberi tumpuan pada sektor pertanian.
Menurutnya, sektor pertanian sangat penting kerana ia juga menjadi sumber pendapatan utama rakyat Kedah.
“Saya amat menggalakkan graduan supaya memajukan bumi Kedah dalam bidang pertanian. Ini kerana permintaan dari luar negara terhadap produk industri tani adalah sangat tinggi, tetapi kita tidak mampu memenuhi permintaan itu kerana masih menggunakan kaedah pertanian yang belum cukup maju,” katanya.
Mohammad Radzhi berkata, graduan negeri ini juga perlu mengubah sikap, minda dan persepsi mereka terhadap industri pertanian.
Menurutnya, graduan kini lebih bijak dan mampu menggunakan ilmu dan kepandaian mereka untuk mencorakkan pertanian moden sekali gus bagi memenuhi permintaan pasaran negara dan antarabangsa.
“Malah, pengeluaran padi dari negara ini juga kurang diterima di peringkat antarabangsa kerana ia kurang berkualiti, berbanding padi keluaran India, Pakistan dan Sri Lanka yang menjadi pilihan dan mendapat permintaan tinggi. Saya berharap supaya graduan dapat mengambil peluang ini untuk meneroka pertanian yang lebih moden kerana ia dapat memenuhi permintaan pasaran.
“Jangan hanya mengharapkan kerja makan gaji, sebaliknya wujudkan peluang pekerjaan untuk orang lain sekali gus dapat mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini,” katanya.
Menurutnya, pusat latihan kemahiran juga diminta memberi lebih banyak peluang kepada graduan dan pencari kerja dengan menyediakan pelbagai kursus dan kemahiran yang berkaitan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Alor Setar, bahawa Kedah merupakan negeri kedua tertinggi penganggur, beliau berkata, kekeliruan mungkin timbul kerana pekerja sambilan atau persendirian tetap mendaftar di jabatan itu.
“Tinjauan mendapati ramai pekerja sambilan dan bekerja sendiri mendaftar dengan JTK untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih terjamin, dan ini menyukarkan pihak kami untuk merekodkan jumlah penganggur yang sebenar,” katanya.
Siti ceburi perniagaan
HUKUM alam menyatakan selepas hujan, pepohon kembali segar dan segaris pelangi indah muncul menghiasi langit. Seandainya itu boleh dijadikan perumpamaan, itulah gambaran tepat terhadap kehidupan seorang anak seni bernama Datuk Siti Nurhaliza.
Terluka dengan pelbagai cerita kurang manis yang menimpa rumah tangganya ditambah kehilangan insan tersayang yang dipanggil bapa pernah membuatkan penyanyi ini berendam air mata. Namun, ketabahan dan kecekalan yang diperoleh selepas lebih sedekad bergelar penghibur membuatkan Siti menjadi semakin kuat untuk menempuh kehidupan yang fana ini.
Puas berduka, kini Siti sudah mampu tersenyum lebar. Satu demi satu doanya dimakbulkan Tuhan. Apa yang selama ini dihajati, semakin menjadi kenyataan. Bermula dengan merangkul pelbagai anugerah dan sekali gus mempertahankan gelaran yang dipegangnya sekian lama, Siti kini sedang melalui fasa baru dalam kehidupannya.
Selepas lebih sedekad membina empayar dalam liga seninya yang tersendiri, Siti kini sudah bersedia untuk menceburi bidang perniagaan yang di luar bidang hiburan. Kali ini beliau bakal mengeluarkan produk kecantikannya sendiri.
Dalam nada teruja, Siti memberitahu projek yang dijalankan secara bersama suami tercinta serta seorang rakan kongsi bakal berada di pasaran selepas segala urusan mengenainya dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Siti akan mengeluarkan dua jenis produk iaitu kosmetik dan produk penjagaan kulit. Buat masa ini, proses penyelidikan dan pembangunannya masih dalam peringkat 60 peratus. Insya-Allah, kalau tak hujung tahun ini, produk ini akan menemui khalayak sekitar awal tahun depan,” katanya dalam majlis sidang media Konsert Eksklusif Satu yang diadakan di Istana Budaya, petang Selasa lalu.
Senang pinjam bank? Apa?

Md. Nor Yusof (tengah) mencuba kamera sambil diperhatikan Shukri Hussin (kanan) dan Nazir Razak pada majlis pelancaran pertandingan fotografi MYCAUSE di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR 25 Mei - Tanggapan kononnya syarikat-syarikat tempatan semakin sukar mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan dan kewangan tempatan ekoran ketidaktentuan ekonomi adalah dakwaan yang tidak berasas.
Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak berkata, ini kerana Bank Dunia dalam laporannya baru-baru ini meletakkan Malaysia sebagai nombor satu dalam akses kemudahan pinjaman.
”Dalam aspek tarikan pelaburan, Malaysia menduduki tempat ke-19 tetapi dalam akses pinjaman negara adalah yang paling utama (nombor satu).
”Justeru, saya pun tidak tahu bagaimana isu mengenai permasalahan pinjaman ini timbul sedangkan pembiayaan itu adalah perniagaan bank,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran pertandingan fotografi MYCAUSE anjuran Yayasan CIMB di sini hari ini.
Beliau tidak menafikan institusi perbankan dan kewangan perlu membuat penilaian semula permohonan pinjaman disebabkan perubahan dalam persekitaran dan prospek syarikat ekoran krisis ekonomi.
Bagaimanapun, jelas beliau, dalam aspek sifat bank terhadap pemberian pinjaman, Malaysia adalah terbaik, tambah beliau.
Beliau berkata, kini institusi perbankan juga semakin teruja untuk menjayakan skim jaminan yang diwujudkan oleh kerajaan untuk industri kecil dan sederhana.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut, Nazir berkata, sistem perbankan di Malaysia menyediakan pelbagai kemudahan pemudah cara.
”Mana-mana peminjam yang tidak berpuas hati, mereka boleh pergi mendapatkan pinjaman dari bank-bank lain kerana setiap bank mempunyai pandangan berbeza,” menurutnya.
Superbest Power cari rakan
SUPERBEST Power (M) Sdn Bhd, pengeluar produk kopi pracampuran jenama Superbest Power, menjemput orang ramai menjadi rakan niaga paling ideal dalam usaha melahirkan ramai usahawan muda.
Pengarah Urusannya, Kamal Mohd Nor, berkata Superbest Power memerlukan 120 rakan niaga ideal bagi melengkapkan jaringan mantap pengedaran kopi pracampuran dan teh ais limau yang dicampur herba dan misai kucing.
“Sehingga kini kami memiliki 40 rakan niaga dan masih memerlukan lebih ramai pengedar. Bagi yang berminat, mereka perlu mempunyai modal pusingan RM10,000 di mana kami membekalkan produk, menyediakan kursus jangka pendek perniagaan dan sistem jualan bagi memudahkan pengurusan.
“Setiap rakan niaga juga diberi kemudahan kredit dengan nilai sama. Mereka diberi polisi insurans peribadi bernilai RM50,000 setahun dan jika memperkenalkan orang lain menjadi rakan niaga, orang terbabit memperoleh polisi yang sama,” katanya di pejabatnya di Damansara Damai, Selangor.
Kamal berkata, menerusi sistem yang dibekalkan, rakan niaga terbabit perlu mengisi segala maklumat mengenai jenis produk, jumlah penghantaran, masa, kawasan pengedaran, nama restoran dan gerai makan, ia sekali gus melicinkan operasi mereka.
“Pada masa sama, kami mengawasi rakan niaga terbabit jika menghadapi masalah, termasuk penambahan stok,” katanya.
Menurutnya, syarikat milik penuh Bumiputera itu sebelum ini terkenal di pasaran tempatan menerusi produk minuman kegemaran ramai iaitu kopi pracampuran dan teh ais limau mendapatkan pengiktirafan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Malah, Mara bersedia memberi kerjasama dan nasihat sepenuhnya terhadap kursus berkenaan,” katanya.
Kamal berkata, orang ramai dan pengedar tidak perlu ragu-ragu dengan kopi pracampuran Superbest kerana ia dilindungi polisi insurans bernilai RM1 juta oleh syarikat insurans Tokio Marine.
Menurut Kamal, Superbest Power bercadang meluaskan empayar perniagaannya ke luar negara tahun ini dengan tumpuan utama Shanghai di China dan India.
“Namun ia masih di peringkat perbincangan tetapi kami komited menceburi pasaran luar negara selepas melihat potensi perniagaan yang ada di sana khususnya Shanghai dan India.
Perencah kerabu laris
G-TRA Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar produk makanan mensasar produk terbaru keluaran syarikat itu, iaitu perencah kerabu dijual sehingga mencecah 20,000 botol sebulan di pasaran tempatan bermula bulan ini.
Unjuran itu adalah empat kali ganda daripada 5,000 botol yang disasarkan ketika awal pelancaran produk itu kira-kira dua bulan lalu berdasarkan sambutan mengggalakkan terutama ketika menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2009 (Mihas) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengarah Urusannya, Norazzah Ibrahim, berkata penyertaan syarikat itu pada Mihas 2009 berjaya membuka peluang mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih luas termasuk antarabangsa.
Menurutnya, ramai peserta dan pengunjung yang hadir pada pameran itu menunjukkan minat mengetahui lebih dekat produk yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Katanya, terdapat juga beberapa pihak menunjukkan minat membawa produk itu bagi menembusi pasaran antarabangsa termasuk negara jiran Indonesia, Brunei dan Thailand.
Menurutnya, walaupun baru dilancarkan, produk perencah kerabu dengan dua perisa itu iaitu pedas dan asli itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna terutama di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Sebelum ini, syarikat itu mengeluarkan produk sambal belacan yang dibotolkan dalam perasa semula jadi dan udang, turut mendapat sambutan luar jangkaan.
“Kami melaksanakan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) intensif bagi memastikan produk ini tanpa bahan kimia serta pengawet yang dikeluarkan syarikat mengikut piawaian dan tahap kualiti tinggi.
“Syarikat juga sentiasa mendapat khidmat nasihat daripada agensi kerajaan seperti Mardi untuk memastikan produk yang dihasilkan memenuhi kehendak dan cita rasa pengguna,” kata Norazzah di pejabatnya di Jitra, Kedah.
Menurutnya, proses menghasilkan perencah kerabu itu memerlukan penelitian bagi mengekalkan keaslian dan adunan asli untuk memastikan bahan itu tahan lama sehingga tarikh tamat tempoh.
Mavcap tawar RM30j
Mavcap (Malaysia Venture Capital Management Bhd) tawar peluang kepada usahawan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mendapatkan pembiayaan daripada ‘Musharaka Tech Venture’, dana modal teroka Islam pertama di negara ini.
Naib Presiden Kanan (Agensi) Mavcap, Shaik Taufik Shaik Yusoff, berkata ketika dilancarkan tahun lalu, Mavcap menyuntik RM30 juta ke dalam dana itu dan ia telah ditambah RM5 juta lagi menerusi pelaburan individu yang disalurkan menerusi sebuah pertubuhan.
Katanya, dana yang diuruskan Musharaka Venture Management Sdn Bhd, rakan khidmat penyumberan luar Mavcap, itu bersedia membiayai minimum RM1 juta dan maksimum RM5 juta perniagaan ICT yang berdaya maju.
“Tumpuan kami adalah kepada syarikat berkaitan ICT khususnya yang mempunyai idea perniagaan yang berdaya maju yang mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya.
“Pemilihan mereka juga berdasarkan keteguhan dari aspek pengalaman, rekod prestasi, rangkaian, sektor pelaburan utama dan nilai tawaran ke arah objektif yang ditetapkan Mavcap,” katanya ditemui selepas perasmian Persidangan Modal Teroka Islam dan Ekuiti Swasta 2009 anjuran Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dengan kerjasama Persatuan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Malaysia (MVCA) di Kuala Lumpur, semalam.
Perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Shaikh Taufik yang juga Naib Pengerusi MVCA, sebuah pertubuhan yang mewakili 40 syarikat modal teroka di Malaysia, berkata buat masa ini Mavcap tidak menetapkan tempoh untuk menghabiskan saiz dana yang dimiliki di bawah ‘Musharaka Tech Venture’.
Namun, katanya Mavcap sudah merancang meningkatkan saiz dana berkenaan menerusi program meraih dana dari pasaran, tetapi kaedah dan jumlahnya belum dimuktamadkan.
Sementara itu, Awang Adek berkata, sektor modal teroka Islam menawarkan potensi besar untuk berkembang sejajar usaha untuk menggalakkan inovasi, mewujudkan pekerjaan dan membantu pembangunan industri pertumbuhan tinggi di negara ini.
Beliau menjelaskan, ini kerana konsep pembiayaannya yang berdasarkan kepada perkongsian untung atau rugi.
“Dengan menyediakan dana kepada usahawan yang memiliki idea perniagaan yang bagus, modal teroka Islam boleh membantu menggalakkan inovasi, mewujudkan pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan industri pertumbuhan tinggi,” katanya.
Beliau juga berkata, ada ramai usahawan Islam yang mahu mendapatkan penyedia modal teroka Islam, malah bilangan pelabur bukan Islam yang kini menggunakan skim pelaburan Islam juga semakin bertambah.
“Menerusi pembangunan di seluruh dunia, kami jangkakan pembiayaan Islam, modal teroka dan ekuiti swasta akan menjadi keperluan utama untuk melaksanakan pelbagai pelaburan dan melaksanakan pelbagai projek di peringkat global.
“Memandangkan pasaran kredit global yang sedang menguncup, penggalakan modal teroka Islam dan ekuiti swasta adalah tepat pada masanya,” katanya.
Permudah salur RM100j
KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan memastikan peruntukan bantuan pinjaman RM100 juta yang diberi kerajaan dalam bentuk geran dan kewangan menerusi Dana Pembangunan Kapasiti Sektor Perkhidmatan (SSCDF) dapat disalur secepat mungkin kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.
Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata bagi memastikan usahawan berkenaan memahami syarat dan kelayakan memohon pinjaman, pihaknya akan mengadakan promosi di seluruh negara bagi menyebarkan maklumat mengenai dana disediakan itu.
Menurutnya, pihaknya sentiasa berusaha mengurangkan kerenah birokrasi bagi membolehkan kemudahan bantuan pinjaman itu dapat sampai kepada golongan sasaran seiring dengan matlamat kerajaan membantu usahawan Bumiputera berdepan situasi ekonomi tidak menentu.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius mengenai masalah usahawan Bumiputera dengan menyediakan dana RM100 juta kepada mereka yang terbabit dalam bidang perniagaan termasuk berpotensi untuk eksport.
“Justeru kementerian akan memastikan semua urusan memberi pinjaman berkenaan akan dipermudahkan, malah kita perlu habiskan peruntukan itu dalam tempoh kira-kira tiga bulan.
“Kita akui menerima banyak permohonan dan tidak meluluskan sepenuhnya permohonan pinjaman terbabit, namun usahawan perlu memenuhi kriteria dan garis panduan ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Program Hala Tuju Ekonomi Usahawan Melayu di Seremban, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan, Datuk Yunus Rahmat dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Sembilan (DPMMNS), Datuk Ahmad Yusof.
Mukhriz berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan usaha membantu usahawan Bumiputera tidak terhenti begitu saja dan banyak lagi program dan inisiatif akan diperkenalkan bagi membantu meningkatkan serta mengukuhkan pembabitan Bumiputera dalam ekonomi, terutama dalam sektor perdagangan antarabangsa dan perindustrian.
Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, usahawan Melayu harus berani mencuba sesuatu yang baru dan tidak hanya fokus kepada satu pengeluaran barangan serta perkhidmatan semata-mata kerana misi kerajaan menerusi Miti ialah untuk mengatur strategi daya saing.
Danajamin giatkan PKS
Penubuhan Danajamin dijangka dapat membantu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha mendapatkan dana, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.
Katanya, antara isu yang menjadi masalah kepada PKS adalah untuk mendapatkan dana dan dengan Danajamin masalah tersebut akan dapat diatasi.
”Penubuhan Danajamin akan membolehkan lebih banyak syarikat PKS mempunyai akses kepada pembiayaan.
”Kita menjangkakan langkah ini merupakan sebahagian besar komponen penting dalam pakej rangsangan kedua untuk membantu memulihkan sektor PKS dengan memberikan pembiayaan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Tahunan Produktiviti 2008 dan Anugerah Produktiviti 2008 di sini hari ini.
Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Danajamin dalam membantu pertumbuhan industri.
Jumaat lalu, Danajamin Nasional Bhd. (Danajamin), sebuah syarikat jaminan kewangan ditubuhkan dan mula beroperasi untuk meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat mendapat pembiayaan mereka dalam pasaran bon.
Penubuhan Danajamin memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memastikan syarikat-syarikat yang berdaya maju perniagaan dan juga pelaburan mempunyai akses mendapat pembiayaan yang diperlukan mereka.
Perdana Menteri dalam pengumumannya sebelum ini berkata, Danajamin dimiliki oleh kerajaan dan mempunyai modal berbayar awal sebanyak RM1 bilion dan akan ditambah kepada RM2 bilion mengikut keperluan semasa.
Dengan mempunyai modal berbayar awal sebanyak RM1 bilion, Danajamin dijangka berupaya menaja jamin bon sehingga RM15 bilion.
Danajamin adalah syarikat insurans berlesen yang ditubuhkan mengikut Akta Insurans 1996 dan tertakluk kepada pengawalseliaan Bank Negara Malaysia, sekali gus membolehkannya menjalankan perniagaan insurans jaminan kewangan.
Pengurusan Danajamin akan melapor terus kepada sebuah Lembaga Pengarah bebas yang dianggotai oleh para profesional yang berpengalaman luas dalam sektor kewangan.
Peniaga asing kaki lima
KUALA LUMPUR: Warga asing yang membanjiri ibu kota dilihat seakan-akan tidak takut dengan pihak berkuasa apabila masih lagi berani berniaga di kaki lima walaupun penguat kuasa membuat pemantauan.
Tinjauan Harian Metro di sekitar Kompleks Kotaraya semalam, mendapati peniaga warga asing ini akan memanggil dan menjerit kepada orang ramai yang lalu-lalang supaya membeli produk mereka.
Situasi seperti ini menyebabkan orang ramai, terutama warga tempatan kurang selesa untuk mengunjungi kawasan berhampiran kompleks terbabit yang kini dibanjiri warga asing.
Seorang kakitangan awam, Mohd Faizul Abd Wahab, 24, berkata peniaga warga asing yang mengambil jalan mudah dengan berniaga di kaki lima bangunan mengganggu perjalanan orang ramai.
“Mereka ini langsung tidak peduli kesusahan orang lain apabila berniaga di kaki lima yang sempit dan menghalang laluan orang ramai.
“Orang ramai terpaksa berasak-asak apabila melalui kaki lima terutama pada hari minggu di mana orang ramai akan keluar rumah untuk membeli-belah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Teknologi Maklumat, Alsauddin Hisyamuddin, 28, berkata peniaga warga asing di kaki lima dilihat semakin bertambah setiap hari.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka kerana berniaga di tempat yang saya dapati tidak dibenarkan,” katanya.
Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Nor Salwa Abd Wahab, 21, berkata produk yang dijual oleh mereka tidak berkualiti dan boleh memudaratkan pengguna.
“Mereka menjual produk berbahaya seperti produk kecantikan wanita dengan harga murah untuk menarik pengguna tanpa mempedulikan kesan sampingan kepada pelanggannya,” katanya.
Misha Omar ceburi bisnes
BAGI Misha Omar, dia tidak dapat membayangkan kariernya sebagai penyanyi akan berpanjangan sehinggalah ke usia tua. Justeru, penyanyi berasal dari Kelantan ini sedang mempersiapkan dirinya dengan karier baru sebagai persediaan ke arah itu kelak.
Selain menyanyi, Misha atau pemilik nama sebenar Samihah Omar itu kini membabitkan diri dalam perniagaan salun kecantikan.
Menurutnya yang popular dengan lagu terbaru Cinta Adam Dan Hawa, bidang baru itu memberi keyakinan kepadanya.
Apatah lagi kata Misha, pembabitannya dalam bidang tersebut mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada rakan niaganya, Derrick Ho.
“Derrick yang saya kenali sejak tujuh tahun lalu merupakan sahabat baik saya. Dialah orang yang selalu memotong dan mendandan rambut saya.
“Selain itu, dia jugalah yang mewarna dan menjadikan rambut saya lebih stylish. Semua itu ‘angkara’ Derricklah.
“Saya kini merupakan rakan kongsinya dalam salun Derrick & Team,” katanya pada sidang media selepas pelancaran salun itu di pusat membeli-belah The Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Misha diberi penghormatan oleh Derrick bagi merasmikan pembukaan salun tersebut.
Selain wakil-wakil media massa, para peminat bertuah yang hadir juga menerima cakera padat album Misha Omar dengan ditandatangani sendiri oleh beliau.
Salun itu merupakan salun kelima cawangan Derrick And Team dan ia merupakan cawangan pertama yang membabitkan perkongsian perniagaan Misha dan Derrick.
Kata Misha, pembabitannya dalam bidang perniagaan itu merupakan perancangannya untuk masa depan selepas tidak menyanyi kelak.
“Ini memang perancangan untuk masa depan saya. Saya memang sudah lama terfikir, apatah lagi selepas Derrick tawarkan saya sebagai rakan kongsinya, maka saya tidak tolak.
“Selepas tujuh tahun dalam bidang nyanyian, sudah sampailah masanya saya mencuba bidang ini,” ujarnya.
Sebagai orang baru dalam bidang perniagaan, Misha sanggup melakukannya daripada bawah supaya dia lebih menyelami bidang tersebut.
Jelas penyanyi bersuara lantang ini, dia misalnya, sanggup menjadi ’shampoo girl’ di salun yang terletak di tingkat tiga The Mall itu.
“Saya sedikit sebanyak perlu tahu dan belajar cara-cara cuci rambut pelanggan. Mungkin selepas ini kena cuba jadi ’shampoo girl’ pula.
“Cara itu bukan sahaja akan mendekatkan saya dengan bidang ini tetapi juga boleh merapatkan hubungan dengan para peminat saya,” katanya.
Bagaimanapun, Misha enggan mendedahkan jumlah peratusan perkongsian perniagaannya dengan pendandan rambut terkemuka itu.
Ini kerana, katanya ia bagi mengelakkan pelbagai spekulasi selain menjaga hati serta kepentingan Derrick & Team yang mempunyai empat lagi cawangan di sekitar Kuala Lumpur.
Misha yang baru memenangi kategori Lagu Terbaik berjudul Nafas Cinta Pada Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) pada 2 Mei lalu yakin perniagaan itu mampu membeli pulangan setimpal.
“Bagi saya, perniagaan ini (salun) amat dekat dengan orang ramai. Ini kerana, dalam sebulan sekali orang akan pergi ke salun untuk potong atau cuci rambut.
“Kalau berjaya, selepas ini saya mahu menceburkan diri dalam perniagaan makanan pula,” ceritanya dalam nada optimis.





