Cendolah raih RM4.3j
April 30, 2009 by admin
Fail di bawah Peruncitan & Franchise
G&G Dessert Products Sdn Bhd (G&G), syarikat Bumiputera yang terbabit dalam pengeluaran pati asli cendol jenama ‘Cendolah’ akan melebarkan sayap perniagaannya ke seluruh Semenanjung menerusi promosi dan edaran produk di kalangan peniaga serta pengusaha pasar raya, tahun ini.
Promosi dan pengedaran produk itu akan dibuat secara berperingkat dengan mensasarkan peniaga kecil terutama pengusaha gerai dan restoran sebagai pengguna sebelum diperluaskan kepada peniaga bazar Ramadan serta pasar raya besar.
Selain itu, G&G juga mensasarkan nilai jualan melebihi RM4.3 juta menjelang hujung tahun ini dengan purata penjualan sekitar 1,000 botol sehari menerusi pengenalan sistem ejen pengedar yang akan diperluaskan kepada usahawan berminat.
Pengarah G&G, Fazli Arman, berkata konsep pengedar mampu memberi manfaat kepada individu yang mahu memulakan karier sebagai usahawan sekali gus membawa keuntungan dan berpotensi memperluaskan perniagaan mereka.
G&G memulakan perniagaan dengan modal permulaan RM250,000 yang digunakan untuk meningkatkan pengeluaran kilang dan pembelian mesin bagi menyediakan pati asli cendol serta pembinaan jenamanya.
“Buat masa ini, kami menumpukan pengedaran produk kepada peniaga kecil, pengusaha gerai pasar malam dan restoran yang berminat.
“Namun dengan kedatangan Ramadan nanti, kami mensasarkan sambutan lebih menggalakkan berikutan cendol dijual secara meluas di bazar,” katanya di Johor Bahru, semalam.
Fazli berkata pati asli cendol keluaran syarikatnya diperbuat daripada santan kelapa dan gula Melaka yang bermutu tinggi serta dijual pada harga RM12 sebotol.
“Selain menjadi kegemaran ramai, cendol juga diiktraf sebagai satu daripada 100 makanan warisan negara namun disebabkan penyediannya yang remeh, pengguna lazimnya membeli minuman itu berbanding menyediakan sendiri di rumah,” katanya.
Menurut Fazli, kaedah penyediaan Cendolah mudah dengan hanya mencampurkan lima bahagian air dan satu bahagian pati asli sebelum ia boleh diminum.
“Kandungan Cendolah sesuai untuk pengguna yang mengutamakan kesihatan kerana ia rendah lemak.
“Di samping penyediaan minuman, Cendolah juga boleh digunakan sebagai penambah rasa dalam pulut, kacang merah, cincau dan ais krim.
“Difahamkan bahawa negara kita akan mengadakan Pesta Makanan Warisan Malaysia di London pada Jun ini dan kami berusaha supaya Cendolah dapat digunakan sebagai pati untuk menghidangkan minuman cendol di sana nanti,” katanya.
Fazli berkata, usahawan berminat boleh menghubungi Mohd Halid Mokhtar ditalian 019-7081810.
HusamWaksa jadi pengeluar pertama kek keju cawan
February 21, 2009 by admin
Fail di bawah Peruncitan & Franchise

HUSAM Shuhaimi Waksa menunjukkan kek keju yang mula dijual di Pulau Pinang dan akan dipasarkan dibeberapa negeri lain.
PULAU PINANG 20 Feb. - Husam Waksa Sdn. Bhd., (HusamWaksa), syarikat pengeluar kek keju cawan bumiputera yang pertama di negara ini, berhasrat meluaskan perniagaan ke seluruh negara sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Isa Al-Husam Shuhaimi Waksa berkata, peluasan itu dibuat berikutan sasaran jualan pihak syarikat mencapai 100,000 kotak untuk penggal pertama tahun ini.
Beliau berkata, Isa Al-Husam Shuhaimi Waksa berkata, produk HusamWaksa didatangkan dalam bentuk cawan dan boleh dinikmati oleh sesiapa dan di mana sahaja kerana ia dijual pada harga yang berpatutan iaitu RM4.90 secawan berbanding produk pesaing yang berharga lebih RM6 secawan.
Katanya, HusamWaksa juga menghasilkan kek keju berkualiti tinggi kerana hampir keseluruhan keknya setanding dengan produk yang dihidangkan di kafe ternama seperti Secret Recipe, Starbucks, hotel mahu pun restoran.
Beliau mendakwa terdapat kek keju di pasaran sekarang yang menggunakan gelatin dalam ramuannya dan pada masa sama ada juga pengeluar yang mendakwa produk mereka sebagai kek keju berkrim sedangkan ia sebenarnya adalah kek span.
”Kek keju HusamWaksa ini menggunakan adunan resipi khas yang dicipta sendiri bagi memastikan rasa serta kualitinya memenuhi cita rasa tempatan selain diadun supaya tidak memuakkan sesiapa yang memakannya.
”Proses penyelidikan dan pembangunan ke atas produk ini memakan masa lebih tiga bulan dan hasilnya kami telah memperoleh 20 resipi berbeza, namun buat masa ini syarikat mengeluarkan tiga perisa terlebih dahulu iaitu coklat, strawberi serta blueberry.
”Dulu, apabila hendak makan kek keju kita kena pergi ke kafe-kafe tetapi dengan produk kami, kek keju boleh dinikmati di mana sahaja sebab ia dibungkus dalam cawan plastik beserta sudu kecil, macam makan aiskrim, mudah hendak makan” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kek Keju HusamWaksa yang seberat 70 gram setiap cawan dihasilkan menggunakan teknik sejuk beku melibatkan suhu -18°C dan mempunyai jangka hayat selama setahun serta mendapat kelulusan pihak berkuasan berkaitan.
Isa Al-Husam berkata, kek keju keluaran syarikatnya itu diharap dapat mewujudkan fenomena baru di negara ini berbanding minat orang ramai yang hanya tertumpu kepada kek biasa menikmatinya.
”Produk seumpama ini mendapat sambutan menggalakkan di beberapa negara maju seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa negara lain di Eropah dan saya yakin ia dapat diterima di negara ini memandangkan gaya hidup masyarakat sudah berubah dan bercita rasa tinggi.
”Berdasarkan maklum balas, melalui promosi yang betul dan berkesan, kek keju ini diyakini laris di pasaran tempatan mahu pun antarabangsa,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Isa Al-Husam berkata, syarikat itu telah merangka pelan bersepadu untuk memasuki pasaran seluruh negara dalam masa terdekat dengan menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan muda menerusi pelan perniagaan ala francais atau perkongsian pintar.
Katanya, syarikat itu menawarkan pulangan keuntungan yang tinggi dengan modal permulaan serendah RM1,570 kepada mana-mana individu atau syarikat yang berminat selain mendapat tunjuk ajar serta latihan.
”Dengan modal RM1,570, usahawan akan dibekalkan dengan sebuah peti ais sejuk beku, material produk, stok pertama serta beberapa barangan promosi lain untuk memulakan perniagaan dan juga aspek pengurusan,” kata beliau.
Katanya, buat masa ini, kek keju HusamWaksa hanya boleh di dapati di kafe-kafe dan restoran terpilih, pasar raya dan kedai serbaneka tertentu di Pulau Pinang dan lebih ramai usahawan diperlukan bagi meluaskan pemasaran produk berkenaan.
Untuk maklumat mengenai peluang perniagaan sila hubungi talian 017-7718087 atau email : alhoosam82@yahoo.com.



