Bisnes minyak pelincir TPC
April 29, 2009 by admin
Fail di bawah Produk Pengguna
DENGAN slogan lebih jimat, lebih kuasa, selamat dan terjamin, minyak pelincir TPC Global terbukti memberi kepuasan kepada pengguna.
Bagi individu yang menggunakan kenderaan untuk menjalankan tugas harian selain kerap berjalan jauh seperti pulang ke kampung setiap bulan, minyak pelincir TPC wajar menjadi pilihan.
Ini kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan minyak petrol malah, mampu memberi insentif lumayan kepada para pengguna.

AZMAN BADDIT (duduk tengah) bergambar dengan para peserta seminar Usahawan TPC Kursus Jati Diri di Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif TPC Global, Azman Baddit memberitahu, kesungguhannya memasarkan produk tersebut adalah untuk membantu pengguna menjimatkan belanjawan bulanan.
“Matlamat utama TPC Global adalah untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan sederhana dan perbelanjaan harian minyak kereta mereka.
“Selain itu, apabila mereka sudah berpuas hati dengan produk tersebut, pengguna yang berminat boleh menyertai kumpulan TPC Global untuk memasarkannya sebagai satu peluang perniagaan.
“Pada masa yang sama, pengguna dapat menjana tambahan pendapatan masing-masing,” katanya yang mengulas mengenai konsep TPC Global pada Seminar Usahawan TPC Global di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, kebanyakan ahli mahupun ejen mereka akan menggunakan produk TPC Global terlebih dahulu sebelum memperkenalkannya kepada rakan-rakan.
“Pada mulanya, mereka memilih produk ini untuk kegunaan sendiri. Selepas berpuas hati, kami akan melatih pengguna yang berminat untuk memasarkannya.
“Dari situ, mereka boleh memperoleh pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan,” tambahnya.
Apakah keistimewaan produk minyak pelincir TPC Global? Ia dapat meningkatkan kuasa enjin sekali gus menjimatkan penggunaan petrol dan diesel.
Selain itu, ia juga boleh digunakan sehingga 10,000 kilometer dan sesuai bagi semua jenis kenderaan. Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang peluang perniagaan TPC Global, boleh menghubungi talian 013-5135679.
Sobri jadi tauke minyak wangi
April 1, 2009 by admin
Fail di bawah Produk Pengguna
SIAPA sangka, dengan modal tidak sampai RM500, berbekalkan kejujuran dalam menjalankan perniagaan, dia kini mampu hidup lebih selesa dengan hanya menjalankan operasinya dalam bilik kecil yang selama ini dijadikan bilik tidur untuk anak bongsunya.
Tidak pernah putus asa mencuba semua cabang kerjaya selepas bersara sebagai tentera di Kolej Tentera Udara, Alor Setar dengan pangkat Staf Sarjan, Sobry Ismail, 52, kini terkenal dengan gelaran tauke minyak wangi lantaran kejayaannya menjadi pembekal pati minyak wangi yang mempunyai rangkaian pengedar di seluruh negara.
Mungkin produk jualannya tidaklah sehebat mana tetapi apa yang penting, dia berjaya memberikan pilihan kepada pengguna untuk memiliki minyak wangi dengan aroma produk bermutu tinggi dengan harga yang sangat murah serta boleh dimiliki siapa saja.
Tidak ramai yang sanggup membelanjakan sehingga ratusan ringgit untuk membeli minyak wangi berjenama antarabangsa meskipun semua sedia maklum aroma dari semburan minyak wangi sebegitu mampu menyebabkan penampilan mereka lebih meyakinkan.
Justeru, apabila Sobry mengeluarkan minyak wangi yang mempunyai aroma sama dengan jenama antarabangsa dengan harga yang jauh lebih murah, ia terus diterima dan mendapat permintaan menggalakkan.
Kunjungan penulis ke kediamannya di Taman Tunku Anum, Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah, memberi peluang untuk melihat sendiri apa keistimewaan yang ada padanya sehingga produknya begitu laris dan diterima oleh semua peringkat tidak kira pekerja kilang mahupun eksekutif muda.
Nampak seperti tidak ada beza dengan minyak wangi dalam botol beroda (roll-on) yang dijual di kebanyakan pasar malam di Kuala Lumpur, namun apabila diteliti dan dihidu baunya, jelas produk yang dikeluarkannya lebih menepati aroma sebenar dan tahan lebih lama.
Lalu, apabila Sobry mendedahkan rahsia produknya, barulah penulis faham kerana berbanding produk lain yang kebanyakannya menggunakan campuran minyak kosong, dia lebih suka menggunakan pati asli yang langsung tidak diadun dengan bahan lain.
“Jika saya mahu mencampur pati minyak dengan minyak kosong, memang lebih menguntungkan dan boleh dijual jauh lebih murah, namun ia seakan menipu pelanggan. Saya tak nak macam itu. Bagi saya, biarlah untungnya kecil tetapi disukai semua orang.
“Berbanding minyak wangi yang dicampur bahan lain, ia mungkin hanya mampu bertahan selama tiga hingga empat jam. Produk saya mampu bertahan kadangkala dari pagi hingga malam bergantung kepada cara penggunaannya. Ada yang masih melekat pada baju hingga keesokan harinya.
“Paling penting, baunya tidak tengik seperti jenama minyak wangi lain. Baunya tepat seperti jenama yang dijual di pasar raya. Tahan lama dan dijual lebih murah. Senang dibawa ke mana saja,” katanya sambil menunjukkan produknya.
Cara dia menjalankan perniagaannya sangat mudah. Dengan menjalankan semua operasinya dalam bilik kecil itu, dia hanya menjualnya kepada pengedar yang datang ke rumah setiap hari untuk dijual di pasar malam.
Malah, bagi pengedar di luar kawasan Jitra, dia tidak kisah untuk mengepos pesanan mereka walaupun dalam kuantiti yang kecil. Ketekunan dan kejujurannya itu membuatkan semakin ramai pengedar selesa berurusan dengannya.
Membongkar keuntungannya, Sobry berkata, bagi setiap botol, dia hanya mendapat keuntungan tak sampai RM2. Itu selepas ditolak kos minyak, botol, kotak, label dan mengepos kerana dia tidak pernah mengenakan bayaran untuk kos pos.
Ketika ditanya adakah perniagaan itu benar-benar menguntungkan, sambil tersenyum dia berkata - “Bolehlah setakat nak sara keluarga dan tampung kos pengajian anak. Selepas dua tahun berniaga, dapatlah kumpul duit untuk ke Makkah dan merasa jugalah tukar kereta baru.”
Meskipun dia kini sudah mampu untuk melebarkan perniagaannya secara lebih serius seperti membuka kedai, namun dia lebih selesa meneruskan kaedah perniagaannya secara kecil-kecilan walaupun kini permintaan untuk minyak wangi keluarannya sudah berjaya menembusi pasaran seluruh negara.
“Cukuplah dengan apa yang ada. Bilik kecil ini sudah memadai untuk saya meneruskan perniagaan ini. Jika ada penambahan permintaan sekalipun, banyak lagi ruang yang ada dalam bilik ini. Ia masih mampu menampung pertambahan kerja saya,” katanya yang kini mengeluarkan 62 aroma pelbagai jenama berbanding hanya 12 ketika memulakan perniagaan itu dua tahun lalu.
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk minyak wangi keluarannya boleh menghubunginya di talian 019-5109644.




