MLM - apa pendapat anda?

March 31, 2009 by admin  
Fail di bawah Nazli Kimin

Lebih 8,000 orang menghadiri majlis dan saya katakan 98% adalah orang Melayu.

Lebih 8,000 orang menghadiri majlis dan saya katakan 98% adalah orang Melayu.

Sebut saja MLM ramai yang tahu. Ia sejenis perniagaan yang begitu popular dalam masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu.

Populariti MLM mungkin kerana genre perniagaan ini secara umumnya tidak memerlukan modal yang besar dan boleh dicuba oleh sesiapa saja tanpa perlu mendaftar perniagaan. Ia ditambah dengan keghairahan yang dihangatkan melalui promosi melahirkan jutawan segera tanpa susah payah.

Jarang sekali mereka yang berkecimpung dalam perniagaan konvensional bercakap tentang kemampuan menjadi jutawan dalam tempoh yang singkat. Tetapi dalam MLM semua orang kata mereka boleh. Pendek kata, jika anda mahu mendapat pendapatan hebat seperti 5 angka dalam masa sebulan dua - join MLM.

Wang bonus dibayar tunai diisi dalam beg James Bond yang diarak dan dipamerkan sebelum diserahkan kepada ahli-ahli yang berjaya.

Wang bonus dibayar tunai diisi dalam beg James Bond yang diarak dan dipamerkan sebelum diserahkan kepada ahli-ahli yang berjaya.

MLM adalah singkatan kepada Multi-Level-Marketing atau Pemasaran Berbilang Peringkat. Secara teknikalnya peserta MLM adalah agen pemasaran kepada syarikat yang menggunakan kaedah perkongsian keuntungan yang dicipta berasaskan kepada Skim Piramid atau Skim Ponzi.

Walaupun begitu, ramai yang lebih suka mendefinasikan MLM sebagai “Meeting-Larut-Malam” dan hanya melihat skim piramid yang mereka dokong sebagai “pelan syarikat”.

Pada 15 Mac lepas saya berkesempatan mengikuti satu majlis MLM di Malaysia International Exhibition & Convention Centre, The Mines. Majlis New Image Sdn Bhd ini telah dihadiri oleh lebih 8000 orang, 98% adalah orang Melayu. Produk syarikat ini hanya satu, iaitu Alpha Lipid - susu tepung yang dikatakan mengandungi susu awal lembu dari New Zealand. Alpha Lipid dikatakan sangat berkhasiat di mana ia boleh menyembuhkan atau menghalang pelbagai jenis penyakit.

Penerima tertinggi dianugerahkan sebagai King & Queen dan dikatakan menerima lebih dari RM400,000.

Penerima tertinggi diisytiharkan sebagai King & Queen dan dikatakan menerima lebih dari RM400,000.

Apa pun yang lebih menarik adalah pelan penjanaan pendapatan yang ditawarkan. Saya tidak mahu menghurai panjang lebar bagaimanakah pelan mereka sebab saya tidak berminat dengan sebarang perniagaan MLM dan saya juga tidak berminat untuk mengajak sesiapa menyertainya. Saya hanya melaporkan berita dan selepas membacanya terpulanglah kepada anda untuk menilai sendiri.

Dalam majlis ini New Image dikatakan telah membayar lebih RM6 juta kepada ahli-ahlinya yang berjaya. Bagaimana mereka membuat bayaran? Sesetengahnya dibayar menggunakan uncang berisi tunai dan sesetengahnya menerima beg James Bond penuh dengan tunai. Menurut maklumat yang diberi, syarikat membayar bonus ini kepada ahli-ahli mereka 2 kali setahun dan akan menjadi 3 kali setahun selepas ini.

Mahathir Lokman juga tidak ketinggalan menerima beg James Bond berisi tunai.

Mahathir Lokman juga tidak ketinggalan menerima beg James Bond berisi tunai.

Penerima beg James Bond tertinggi dikatakan mendapat lebih dari RM400,000 dan yang paling rendah dalam lingkungan RM30,000. Penerima uncang dikatakan mendapat nilai RM30,000 dan ke bawah. 60 orang menerima beg James Bond termasuk pengacara majlis Datuk Mahathir Lokman yang juga terlibat dalam perniagaan ini.

Bonus yang diterima dalam majlis ini dikatakan tidak termasuk dengan pendapatan bulanan yang juga dikatakan boleh mencecah 5 angka sebulan (testimoni diberikan oleh beberapa orang ahli yang telah berjaya).  Syarikat juga membawa mereka melancong ke pelbagai negara seperti New Zealand, Australia, Taiwan dan sebagainya.

Hebat bunyinya bukan?

Tetapi seperti yang saya katakan di atas secara peribadi, MLM bukan untuk saya. Bagaimana dengan anda?

nazli13

Nazli Kimin merupakan Admin/Editor KakiBisnes.com
Selain minat untuk berkongsi idea atau pengalaman di laman ini
beliau aktif juga dalam bidang hiasan dalaman. Untuk info
lanjut mengenainya anda boleh ke www.senihias.com.

Skim bantuan dan pinjaman perniagaan

March 3, 2009 by admin  
Fail di bawah Nazli Kimin

capBanyak betul berita mengenai skim pinjaman dan program bantuan untuk golongan peniaga kecil sejak kebelakangan ini. Boleh kata saban hari ada saja bank atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan mengumumkan skim atau program mereka di akhbar-akhbar. (Anda boleh menyemak berita-berita ini di kategori Pusat Sumber di laman ini- Berita).

Mungkin memang ramai yang minat untuk memulakan perniagaan. Selaras dengan itu kerajaaan mengadakan pelbagai skim pinjaman dan bantuan sebagai menyokong kecenderungan berniaga yang sedang membuak-buak di kalangan rakyat.

Atau mungkinkah juga langkah kerajaan ini lebih kepada satu kaedah membeli jiwa rakyat yang sedang berdepan dengan kesan kemelesetan ekonomi sejagat? Kita tidak tahu selagi kita tidak mencubanya.

Jadi sementelah skim-skim sudah pun diwar-warkan dan tersedia kepada sesiapa yang berminat, ambillah peluang yang ada. Kalau sebelum ini modal menjadi masalah, sekarang kerajaan hendak membantu.

Jika anda sedang memohon, sudah mendapat kelulusan atau gagal dalam permohonan anda untuk mendapatkan mana-mana skim pinjaman atau bantuan yang banyak ini, jomlah berkongsi pengalaman anda di sini. Begitu juga kalau anda mempunyai apa-apa pendapat yang berkaitan. Anda boleh menggunakan ruang komen atau kirimkan pendapat anda melalui email kkbisnes@gmail.com untuk kami siarkan kemudian.

nazli13

Nazli Kimin merupakan Admin/Editor KakiBisnes.com
Selain minat untuk berkongsi idea atau pengalaman di laman ini
beliau aktif juga dalam bidang hiasan dalaman. Untuk info
lanjut mengenainya anda boleh ke www.senihias.com.

Menjadi tukang masak komuniti

February 19, 2009 by admin  
Fail di bawah Nazli Kimin

Siapa yang nak ke restoran kalau makanan panas boleh datang sendiri ke rumah.

Siapa yang nak ke restoran kalau masakan panas boleh datang sendiri ke rumah.

Anda pandai memasak sesuatu resepi atau beberapa resepi yang sedap? Kalau tak pandai, anda mungkin boleh belajar sampai pandai. Tumpukan kepada beberapa set resepi yang khusus saja. Misalnya masakan berasaskan mi, atau berasaskan nasi dan sebagainya. Apa-apapun pastikan set-set yang anda pilih memang betul-betul berpotensi untuk meletup di pasaran.

Anda akan menjadi tukang masak kepada komuniti anda.

Idea bisnes kali ini sangat sesuai jika anda tinggal di kawasan berpenduduk padat dengan komuniti kelas menengah. Ini kerana komuniti kelas menengah kurang mempunyai masa untuk diri atau keluarga. Masa mereka lebih banyak digunakan untuk bekerja. Kalau ada orang nak “tolong” masak, mereka pasti suka.

Okay, mula-mula masaklah set-set makanan anda, hidangkan ia cantik-cantik dan ambil gambar. Kalau dapat gambar suami, anak anda atau anda sendiri sedang pelahap makanan tu lagi baik. Bila ada testimoni bergambar, keyakinan orang akan bertambah.

Apabila sudah ada gambar, binalah sebuah laman web/blog untuk display dan jual set makanan istimewa anda itu. Beritahu pengunjung bagaimana bersih dan suci murninya dapur masak anda. Tunjukkan juga betapa segarnya bahan-bahan mentah yang anda gunakan untuk memasak. Selitkan gambar anak dara anda yang cannn..tik  sedang membantu anda di dapur. Kemudian tetapkan cara pembungkusan, cara pesanan, cara penghantaran dan harga bagi setiap set hidangan dan beritahu pengunjung mengapa mereka mesti memesan makanan anda itu.

Cipta sebab atau trend supaya produk/makanan atau idea bisnes anda diperlukan oleh komuniti. Cari jalan supaya mereka merasa “dibantu” atau beruntung apabila membeli makanan dari anda. Tunjukkan apa yang tidak pernah mereka terfikir sebelum ini sehingga bisnes baru anda itu nampak seperti satu anugerah yang tak ternilai kepada mereka. Buat mereka merasa tidak sempurna hidup atau bersalah kepada diri mahupun keluarga jika mereka tidak meng’order’ sesuatu dari anda. Buatlah apa saja asalkan mengikut lunas etika dan undang-undang.

Untuk pesanan atau belian, caranya mestilah mudah dan ringkas. Tak perlu guna shopping cart bagai. Suruh mereka order melalui SMS saja. Tulis nama masakan, berapa bungkus atau berapa orang makan dan alamat. Cukup.

Untuk penghantaran, perkudakan siapa saja. Suami anda, anak anda, orang gaji anda atau anda sendiri pun boleh hantar. Sediakan slip harga sekali bagi memudahkan urusan dengan pelanggan ketika penghantaran dan pembayaran. Bayaran secara COD. Kalau Pizza Hut boleh buat kepada tidak anda?

Bagusnya model bisnes ini adalah, anda tidak perlu mengeluarkan modal yang banyak dan risikonya juga rendah. Semua bahan keperluan masakan anda anda simpan di rumah sama seperti stok makanan biasa anda. Tidak ada istilah barang tak laku atau stok tak habis kerana anda tetap boleh masak untuk makan sendiri juga. Dan jika strategi bisnes anda menjadi, anda akan tahu set masakan yang lebih digemari dan anda boleh mengurus ’stok’ anda dengan lebih baik.

Di peringkat permulaan bisnes online anda ini mungkin perlu juga disokong dengan kaedah pemasaran konvensional, misalnya sebarkan brochure, poster atau minta kawan-kawan bawa mulut bila-bila ada sesi mengumpat. Yalah,  sekarang peratusan mereka yang mempunyai kemudahan internet di rumah belum meluas sangat.

Namun begitu kepentingan dan keberkesanan laman web anda akan meningkat dari sehari ke sehari sehingga sampai satu ketika bisnes anda akan bergantung hidup kepadanya.

nazli13

Nazli Kimin merupakan Admin/Editor KakiBisnes.com
Selain minat untuk berkongsi idea atau pengalaman di laman ini
beliau aktif juga dalam bidang hiasan dalaman. Untuk info
lanjut mengenainya anda boleh ke www.senihias.com.

Kemelesetan ekonomi - bala atau laba?

February 18, 2009 by admin  
Fail di bawah Nazli Kimin

lava

Muntahan lava membunuh apa saja di laluannya, namun sebaik sejuk ia menawarkan tanah yang sangat subur kepada tumbuhan baru.

Dunia sedang berada di ambang kemelesetan. Sehebat mana kemelesetan kali ini kita tidak tahu. Adakah ia baru bermula atau sudah hampir berakhir, juga kita tidak tahu. Di zaman di mana tidak ada orang sedia bercakap benar yang sebenar-benarnya, agak sukar untuk mengetahui apa yang  menunggu kita di hadapan sana. Namun jika pembayang dari pelbagai sumber boleh kita jadikan sandaran, maka kita harus merancang apa saja langkah yang wajar bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi diri mahupun keluarga dalam ketidaktentuan sebegini.

Soalan pertama yang perlu kita tanya pada diri sendiri jika kita seorang pekerja adalah, adakah kita berdepan dengan sebarang risiko disingkirkan? Jika ada, apakah langkah persediaan yang kita ambil untuk menanganinya nanti? Jika kita yakin tidak akan disingkirkan, kita masih perlu bertanya, adakah kita akan memperolehi gaji penuh, kenaikan, bonus dan sebagainya? Jika ada kemungkinan di mana pendapatan kita akan berkurangan, tidak meningkat atau tidak ada sebarang ekstra, adakah ia boleh menjejaskan gaya hidup seharian yang telah kita kecapi selama ini? Jika boleh, bagaimana kita akan mengatasinya?

Jika kita seorang peniaga pula, soalan pertama yang harus kita tanya adalah adakah perniagaan kita mampu mempertahankan momentumnya di sepanjang tempoh kemelesetan? Jika boleh, tidak ada masalah. Jika tidak boleh, apakah pilihan yang kita ada supaya ia terus relevan dalam keadaan dan cabaran semasa? Apakah perubahan-perubahan yang perlu kita lakukan? Apakah strategi-strategi baru yang perlu kita laksanakan? Adakah kita mampu melakukannya? Jika tidak mampu, apakah pula pilihan lain yang kita ada?

Pada umumnya tidak ada siapa suka kepada kemelesetan ekonomi. Kita tidak suka sesuatu yang boleh menyebabkan kedudukan menjadi  sukar. Namun kemelesetan ekonomi tetap datang juga setiap kali masanya tiba. Jadi, jika kita boleh menerima kerancakan ekonomi, maka kita juga harus terima apabila ia meleset. Kita tidak ada pilihan. Ia umpama resmi siang dan malam, kita hanya perlu menyesuaikan diri dengan suasana yang terang dan suasana yang gelap.

Sebenarnya kemelesetan ekonomi bukanlah teruk sangat. Di sebalik presepsi buruk kita terhadap kemelesetan ekonomi, percayalah ia sebenarnya penuh dengan elemen-elemen yang menarik dan memberangsangkan. Manusia menjadi bertambah kreatif, berani dan berdaya saing apabila ia berlaku. Biasanya, perniagaan baru akan tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Namun, bagi perniagaan sedia ada yang tidak cukup daya tahan ia mungkin akan luput di telan kemelesetan.

nazli13

Nazli Kimin merupakan Admin/Editor KakiBisnes.com
Selain minat untuk berkongsi idea atau pengalaman di laman ini
beliau aktif juga dalam bidang hiasan dalaman. Untuk info
lanjut mengenainya anda boleh ke www.senihias.com.

Enjin sudah dicucuh

February 16, 2009 by admin  
Fail di bawah Nazli Kimin

Apabila sudah berjaya berlepas, langit tidak bersempadan

Selepas berjaya berlepas, langit tidak bersempadan

Kecenderungan Kakibisnes.com adalah dalam soal pembangunan usahawan. Usahawan Melayu. Inilah audien yang menjadi sasarannya. Orang Melayu dalam dunia perniagaan, ibarat remaja yang baru meningkat dewasa. Masih tercari-cari dalam mengenal bakat, kebolehan dan halatuju diri.

Belum berapa lama dulu, malah dalam dekad 80-an misalnya, majoriti orang Melayu masih kurang nampak bidang perniagaan sebagai satu pilihan ‘cari makan’ yang patut mereka pertimbangkan dengan serius. Mereka masih taksub dengan kerja makan gaji. Khususnya makan gaji dengan kerajaan.

Ibubapa yang tidak kerja tetap seakan kesal kerana tidak memiliki status itu, status bukan pekerja makan gaji. Akibatnya ramai di kalangan mereka menyekolahkan anak-anak dengan harapan agar anak-anak mereka menyambung cita-cita mereka yang tak tercapai; iaitu kerja makan gaji. Mereka mahu anak mereka jadi pegawai, jadi cikgu, jadi polis.

Bagaimanapun, perubahan paradigma atau mungkin juga satu revolusi, berlaku menjelang milenium baru . Orang Melayu mula melihat perniagaan sebagai satu bidang yang menarik, lumayan dan mereka bersedia untuk mencubanya. Hari ini orang Melayu sudah tidak malu berniaga. Samada kejayaan mereka dalam bidang berkenaan secara umumnya sudah boleh dibanggakan atau belum, itu kita ketepikan dulu. Yang penting, Melayu sudah tidak malu berniaga. Ia sebenarnya satu bentuk kejayaan juga.

Cabaran paling besar kepada generasi peniaga Melayu baru adalah kekurangan upaya dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan mereka. Ini disebabkan mereka belum lagi cukup pengalaman. Akal niaga mereka masih belum matang. Belum cukup kuat. Belum cukup liat. Ramai yang mudah berasa kecewa, tertekan dan mengalah. Ini kerana keghairahan mereka lebih tertumpu kepada keuntungan, kelumayanan dan kebebasan. Mereka kurang melihat faktor-faktor asas di belakang semua manifestasi kejayaan tersebut, iaitu fokus, kerja keras dan berdaya tahan.

Apapun saya percaya generasi baru Melayu mampu menjadi kelompok masyarakat perniagaan yang berjaya. Dan saya juga percaya, kejayaan yang kita harapkan itu tidak akan mengambil masa lama. Jika generasi sebelum ini membuang hampir setengah abad hanya untuk menerima perniagaan sebagai satu bidang kerjaya yang wajar, generasi Melayu baru akan mengambil masa yang lebih singkat untuk membina kekuatan dalam bidang berkenaan.

Apabila enjin sudah dicucuh dan semakin panas, kita bolehlah bersedia untuk bergerak laju ke hadapan dan meneroka lebih jauh.

nazli13

Nazli Kimin merupakan Admin/Editor KakiBisnes.com
Selain minat untuk berkongsi idea atau pengalaman di laman ini
beliau aktif juga dalam bidang hiasan dalaman. Untuk info
lanjut mengenainya anda boleh ke www.senihias.com.