Kemahiran komunikasi penting
Para usahawan wajar mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran komunikasi sekiranya ingin berada dalam kalangan orang yang berjaya.
Presiden Pertubuhan Penceramah- penceramah Profesional Malaysia (MAPS), Datuk Maznah Hamid berkata, bidang keusahawanan memerlukan seseorang individu yang mampu berkomunikasi dengan baik dan lantang bagi menonjolkan keyakinan diri.
”Para usahawan perlu tahu, dunia perniagaan sama seperti ‘peperangan,’ jika individu itu tidak pandai untuk berkomunikasi, bagaimana dia hendak menjual produk dan nama syarikat?
”Malah, jika dari segi akademik, dia hebat, namun lemah dari aspek komunikasi, ia tetap tidak akan membantu kejayaan individu itu, justeru kemahiran ini perlu dikuasai,” katanya.
Selain itu, Maznah berkata, kesedaran mengenai teknik ‘menjual diri’ juga perlu wujud dalam diri setiap usahawan sekiranya ingin bergelar usahawan berjaya.
”Apa yang dimaksudkan ialah mereka perlu bijak menjual nilai-nilai positif yang ada di dalam diri mereka, contohnya kepintaran, kreativiti, kejujuran dan kewibawaan sebagai seorang usahawan yang disegani.
”Mereka juga perlu mengenal dan melatih diri mereka dengan nilai-nilai ini supaya apa jua yang diusahakan akan membuahkan hasil, namun ia perlu bermula dengan penguasaan kemahiran komunikasi terlebih dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mewujudkan modul pelajaran baru bagi subjek komunikasi bermula di peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi.
Katanya, ini bagi memastikan setiap individu terutama generasi muda mampu menguasai kemahiran komunikasi di samping dapat menyemai keyakinan dalam diri di peringkat awal.





